GEORGE TOWN: Sebuah bilik darjah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Ling, Ayer Itam di sini terbakar malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata sepasukan 12 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong dan Lebuh Pantai dikejarkan ke lokasi sejurus pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.54 malam.
“Kebakaran melibatkan sebuah bilik darjah berkeluasan kira-kira 20 x 30 kaki persegi dengan anggaran kemusnahan 20 peratus.
“Tiada aktiviti persekolahan ketika kejadian dan tiada mangsa dilaporkan terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
John berkata kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 8.40 malam sebelum kerja-kerja pemeriksaan lanjut dilakukan bagi memastikan tiada bahaya lain di lokasi.
Beliau berkata operasi tamat pada 9.22 malam dan kes diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk tindakan selanjutnya, manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
-- BERNAMA