KUALA LUMPUR: Bilik Gerakan 24 jam yang diwujudkan di institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara berfungsi sebagai pusat pengumpulan maklumat dan memberi maklum balas terhadap kes-kes yang berlaku termasuk berkaitan COVID-19.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata ia diwujudkan di bawah Pelan Pengurusan Risiko bagi menjaga kebajikan dan keselamatan pelajar yang berada di IPT.

"Saya sedar dan faham kerisauan ibu bapa dan pelajar dalam situasi COVID-19 ini. Insya-Allah, KPT (Kementerian Pengajian Tinggi) akan berusaha sebaik mungkin dalam memastikan keselamatan dan kebajikan anak-anak pelajar kita terus terbela," katanya ketika menggulung perbahasan ucapan dasar Ketua Wanita UMNO pada persidangan sayap itu sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 di sini semalam.

Ketua Wanita UMNO itu berkata Prosedur Operasi Standard (SOP) kemasukan pelajar sebelum dan semasa berada di dalam kampus juga telah disediakan selain Pelan Pengurusan Krisis untuk jangka panjang dan sederhana turut dibangunkan.

"Ia bagi memudahkan ibu bapa dan pelajar mendapatkan maklumat berkenaan isu atau persoalan yang kerap dibangkitkan, kompilasi soalan-soalan lazim turut disediakan," katanya.

Dalam pada itu, Noraini menegaskan langkah memperkasakan wanita merupakan satu usaha yang berterusan dan UMNO terbukti melakukannya apabila parti itu meminda perlembagaan dengan mengangkat wanita daripada Pergerakan Wanita UMNO Malaysia dan kini dikenali sebagai Wanita UMNO Malaysia.

Bagaimanapun, beliau berkata penyertaan wanita dalam kepimpinan politik masih jauh ke belakang iaitu hanya 10.8 peratus sahaja berbanding lelaki.

"Saya menggesa semua parti politik khususnya UMNO menggubal suatu undang-undang bagi melaksanakan satu polisi yang mewajibkan kuota 30 peratus penyertaan wanita dalam pilihan raya.

"UMNO sebagai parti yang sudah matang harus menjuarai agenda pemerkasaan ini. Calon-calon wanita perlu diletakkan di tempat yang boleh menang. Jangan letak semua di kawasan yang sukar. Pelaksanaannya perlu jujur, bukan sekadar melepaskan batuk di tangga," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ketika menggulung perbahasan ucapan dasarnya berkata Pemuda UMNO mahu PAS menyatakan pendirian sama ada kekal bersama UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) atau sebaliknya.

Beliau berkata perkara itu penting bagi membolehkan MN bersiap-siaga bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Sebelum kita masuk gelanggang perang, kita kena tahu siapa musuh kita, siapa kawan kita, kawan yang akan bersama dengan kita sehingga ke penghujungnya," katanya.

Pada 2019, UMNO dan PAS memeterai perjanjian kerjasama yang dikenali sebagai Piagam Muafakat Nasional dengan ditandatangani oleh kedua-dua Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid (UMNO) dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS).

Ketua Puteri UMNO Datuk Zahida Zarik Khan, ketika menggulung perbahasan pada persidangan perwakilan pergerakan itu, pula berkata UMNO perlu menghentikan seketika soal pemilihan parti buat masa ini bagi memberi fokus dan tumpuan utama kepada persiapan PRU15.

"UMNO juga perlu mengetengahkan lebih ramai pemimpin muda yang berbakat sebagai calon pada PRU15 dan 30 peratus calon Ahli Parlimen daripada kalangan wanita.

"Selain itu, strategi agresif perlu dirangka bagi memenangi hati pengundi muda, bersatu hati, menghormati dan bersolidariti mempertahankan institusi parti di semua peringkat cawangan dan bahagian, negeri dan institusi presiden," katanya.

Pemilihan UMNO diadakan setiap tiga tahun dengan kali terakhir pada 30 Jun 2018.

-- BERNAMA