Taska disyaki langgar SOP, tidak berdaftar

JKM menegaskan aspek keselamatan, perlindungan dan kesejahteraan kanak-kanak merupakan keutamaan dalam penyediaan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak di negara ini.
PUTRAJAYA: Sebuah taska di Selangor dipercayai terbabit dalam kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) termasuk isu penderaan di cawangannya, didapati tidak berdaftar sebagai operator TASKA di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984.
Ringkasan AI
- Taska di Selangor disiasat kerana dilaporkan melanggar SOP dan penderaan kanak-kanak, tidak berdaftar di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.
- JKM Selangor akan ambil tindakan penguatkuasaan dan notis sita terhadap premis tersebut yang tidak memenuhi ciri keselamatan.
- Isu penderaan kanak-kanak telah dilaporkan kepada polis dan siasatan sedang dijalankan, manakala JKM menekankan keutamaan keselamatan kanak-kanak dalam penjagaan taska yang berdaftar.
JKM memaklumkan pusat-pusat berkenaan menjalankan operasi penjagaan kanak-kanak merangkumi pelbagai kategori iaitu melibatkan kanak-kanak taska, tadika serta perkhidmatan pemulihan atau terapi kepada kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU).
Justeru, siasatan turut melibatkan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor bagi tujuan semakan dan tindakan selanjutnya, menurut kenyataan itu.
Bagi isu melibatkan dakwaan penderaan kanak-kanak, JKM memaklumkan perkara tersebut telah dilaporkan kepada polis dan kini berada dalam siasatan.
Menurut kenyataan itu, JKM Selangor akan mengadakan pertemuan dengan pihak operator taska terlibat bagi mendapatkan penjelasan lanjut.
JKM dalam pada itu menegaskan aspek keselamatan, perlindungan dan kesejahteraan kanak-kanak merupakan keutamaan dalam penyediaan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak di negara ini.
"Justeru, JKM dari semasa ke semasa sentiasa mengingatkan ibu bapa untuk memilih dan menghantar anak ke taska yang berdaftar kerana ia tertakluk kepada pematuhan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 termasuk standard minimum keselamatan, kebersihan, kemudahan fizikal serta nisbah pengasuh yang ditetapkan," menurut kenyataan itu.
Menurut JKM, setiap premis taska berdaftar wajib mempamerkan Plak Pendaftaran TASKA yang dikeluarkan JKM di hadapan setiap premis.
Status pendaftaran taska boleh disemak menerusi Portal Rasmi JKM.
"JKM komited melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan secara berterusan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peruntukan undang-undang," menurut kenyataan itu.
Kerjasama erat antara ibu bapa, komuniti dan agensi kerajaan amat penting bagi memastikan keselamatan kanak-kanak sentiasa terpelihara dan tidak dikompromi.
Sebelum ini tular di media sosial, video dipercayai dikongsi petugas di sebuah taska di Shah Alam yang memaparkan seorang kanak-kanak autistik dikurung dalam sebuah stor dengan keadaan menangis teresak-esak.
Turut tular video memaparkan kanak-kanak dengan jenama taska sama di cawangan Puchong diminta merangkak di dalam longkang didakwa bagi mengelak pemeriksaan pihak JKM.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


