JERANTUT: Wakil ibu bapa dan guru Sekolah Kebangsaan Damak, di sini, berharap agar jambatan yang sebelum ini menjadi kemudahan murid dan guru ke sekolah tersebut segera diganti.

Menurut Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Damak, Shaiful Anuar Osman, ini kerana jambatan asal yang menghubungkan laluan ke sekolah itu ditutup selepas disahkan tidak selamat.

Jambatan sepanjang kira-kira 20 meter dan lebar 2 meter itu ditutup apabila struktur bawah jambatan itu dipercayai tidak stabil kesan daripada hakisan tanah akibat hujan lebat dan banjir pada Disember 2021 lalu.

“Apabila jambatan asal itu tidak boleh dilalui, menggunakan jalan alternatif perlu ‘memusing’ lebih 200 meter dari sekolah.

"Ketika hujan lebat berterusan baru-baru ini, jambatan dan jalan alternatif itu turut ditenggelami air sedalam kira-kira 0.3 meter dan murid terpaksa mengharungi jalan itu dalam keadaan berbecak," kata Shaiful Anuar.

Tambahnya, jambatan itu perlu diganti segera kerana laluan asal lebih dekat dan mudah untuk menurun dan mengambil murid berbanding jalan alternatif yang dibina agak jauh.

Kata Shaiful Anuar, selain itu, saiz jambatan yang akan dibina juga perlu dilebarkan untuk keselamatan pejalan kaki khususnya murid keluar masuk.

Ia juga mengambil kira keperluan jentera bomba untuk bergegas ke kawasan sekolah sekiranya berlaku perkara tidak diingini.

“Ini untuk kemudahan hampir 400 orang warga Sekolah Kebangsaan (SK) Damak,” katanya lagi.

Murid SK Damak melihat dari dalam pintu pagar dan tidak dibenarkan menggunakan jambatan itu. - Astro AWANI
Sementara itu, Naib YDP PIBG sekolah itu, Rafiz Azuan Ahmad, 48, berharap pihak berkaitan segera membina jambatan baharu selepas ia ditutup lebih setahun.

“Diharap Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Parit dan Saliran (JPS) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jerantut memberi keutamaan pembinaan jabatan baharu ke sekolah ini agar memberi keselesaan kepada semua pihak.

“Sudah setahun kejadian jambatan ini ditutup dan dilarang kepada semua, sejak itu tiada sebarang tindakan diambil walaupun sudah dimaklumkan kepada pihak berkaitan,” katanya.