KUALA LUMPUR: Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin digesa untuk segera mengadakan sidang Parlimen bagi membahaskan usul mengecam serangan Israel ke atas penduduk Palestin yang semakin kritikal. 

Menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, tindak balas Israel yang menggunakan kekerasan dan keganasan jelas melanggar resolusi 2334 (2016) Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkenaan larangan membangunkan penempatan baharu Yahudi di atas tanah milik rakyat Palestin.

“Justeru Parlimen Malaysia mesti segera bersidang dan membentangkan usul yang akan menyerlahkan solidariti rakyat Malaysia tanpa mengira parti dan ideologi dalam menyuarakan pendirian Malaysia secara tegas dan keras terhadap tindakan keganasan dan kebiadaban Israel yang mencabuli hak asasi manusia dan melakukan jenayah perang yang amat melampau.

“Parlimen Malaysia juga mesti turut mengusulkan agar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu segera campur tangan sebelum ramai lagi nyawa orang awam terutama wanita dan kanak-kanak terkorban akibat kerakusan tentera Zionis-Israel,” ujarnya menerusi satu perkongsian di Facebook. 

BACA: Konflik Palestin-Israel: Malaysia sokong Penyelesaian Dua Negara ikut sempadan sebelum 1967 

BACA: Konflik Palestin-Israel: Tidak cukup hanya mengutuk, undang-undang antarabangsa mesti dikuatkuasakan - Faizal Azumu 

Sementara itu, Ahli Dewan Negara, Liew Chin Tong turut berpandangan dengan pembukaan semula Parlimen ia akan merintis jalan untuk membincangkan isu-isu besar dan penting di dalam negara.

Beliau yang juga Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP memetik peristiwa pada 12 Januari 2009, dimana bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, telah memanggil sidang khas Parlimen bagi membahas dan mengusulkan 10 ketetapan bagi membela nasib rakyat Palestin akibat serangan rejim Israel ke atas Gaza pada waktu itu, bersama semua ahli Parlimen.

“Selepas itu, setiap kali Israel bertindak ganas, Parlimen Malaysia sentiasa mencapai kata sepakat mengutuk keganasan rejim tersebut, termasuk kali terakhir pada tahun lalu.

“Justeru, amat wajar bagi kerajaan Perikatan Nasional (PN) membuka Parlimen dan segera membahaskan isu pembelaan rakyat Palestin secara bersama tanpa mengambil kira perbezaan politik, untuk menunjukkan solidariti bersama rakyat Palestin.

“Dengan pembukaan semula Parlimen, ia akan merintis jalan untuk membincangkan isu-isu besar dan penting di dalam negara kita, khususnya ketika dunia dilanda pandemik COVID-19,” jelasnya.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 139 penduduk Palestin, termasuk 39 kanak-kanak telah terkorban di Semenanjung Gaza sejak Isnin dengan seramai 950 yang lain cedera. 

BACA: Suara dari Tel Aviv: Ini jenayah perang oleh Israel, tiada perikemanusiaan

BACA: Palestin terus dizalimi, Majlis Keselamatan PBB masih membisu - PM