Pembentukan blok pembangkang tidak menjejaskan sokongan rakyat terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, blok pembangkang bukan ancaman besar kepada UMNO selain rakyat sudah bersedia untuk menerima acuan tersebut.

"Kewujudan blok pembangkang mencerminkan antara parti-parti pembangkang mempunyai agenda tersendiri terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

"Blok pembangkang dilahirkan sebagai persediaan mereka menghadapi PRU, tetapi saya yakin tidak akan menyusutkan sokongan rakyat terhadap UMNO dan BN.

"Realitinya wujud perpecahan ketara dalam kalangan parti-parti pembangkang yang pada dasarnya didominasi oleh DAP, parti rasis terbesar di negara ini," katanya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my.

Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan mendakwa, pembentukan blok pembangkang bukan gabungan atau kerjasama konsisten untuk membawa kepada perubahan politik di negara ini.

"Saya tidak fikir blok pembangkang merupakan alternatif terbaik untuk rakyat menentukan pilihan, kerana secara tradisinya UMNO dan BN masih lagi menambat hati rakyat secara keseluruhannya.

"Acuan blok pembangkang juga dilihat tidak menjuruskan kepada kepentingan rakyat sebaliknya hanya berpusat kepada kepentingan agenda pihak tertentu.

"PKR, parti Amanah termasuk PAS sekadar alat untuk menjana kepentingan politik DAP," tegasnya.

Tidak berasas

Serentak itu, Syed Ali menolak tuduhan Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail yang mendakwa kewujudan blok pembangkang sebagai usaha menentang kezaliman kerajaan BN.

"Kenyataan Dr. Wan Azizah ternyata tidak berasas dan sekali lagi memperalatkan nama 'rakyat' untuk mengelirukan masyarakat.

"Mereka kata untuk rakyat, tetapi bila pula mereka mendapat mandat rakyat kerana pembentukan blok pembangkang hanya bersandarkan kepada agenda politik mereka," katanya.

Syed Ali turut menempelak pemimpin pembangkang termasuk Dr. Wan Azizah yang hanya sibuk sepanjang masa berpolitik dan mencipta fitnah terhadap UMNO dan BN sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka kepada rakyat.

"Setiap hari mereka (pembangkang) selongkar dan cari salah UMNO, buat cerita palsu, sebar fitnah, mainkan persepsi dan lakukan provokasi, tetapi masalah rakyat langsung tidak diambil peduli.

"Jadi bila masa pula mereka berjuang untuk rakyat? Inilah sandiwara dan perlakuan buruk pembangkang yang jelas hanya memperalatkan 'rakyat' untuk agenda peribadi mereka," ujarnya.

Sekali lagi Syed Ali melebelkan DAP sebagai 'abang besar' yang menjadi dalang utama untuk meranapkan perpaduan orang Melayu dengan memperalatkan parti-parti pembangkang.

"Kita boleh kata DAP merupakan perancangan utama untuk menghancurkan perpaduan orang Melayu di negara ini, kerana DAP parti rasis yang bertunjangkan kepentingan kaum tertentu," tegasnya.

Hak PAS

Mengulas kerjasama terbaru PAS dengan parti Ikatan menerusi blok ketiga, Syed Ali menjelaskan kerjasama itu tidak memberi kesan kepada kekuatan UMNO.

"PAS boleh berkerjasama dengan Ikatan, itu hak mereka sepetrtimana mereka pernah melakukannya dengan DAP dan PKR sebelum ini," ujarnya.

Bagi UMNO termasuk BN tegasnya, perlu sentiasa melihat perkembangan tersebut secara konsisten dan memantaunya daripada pelbagai aspek.

"Sama ada wujud atau tidak blok pembangkang, parti sentiasa bersiap-siaga menghadapi sebarang kemungkinan.

"UMNO dan BN sentiasa pro-aktif dan mengambl pendekatan bersepadu menangani apa juga isu dan cabaran demi menjamin kekuatan parti dan kerajaan BN," katanya.

Bagaimanapun, Syed Ali turut mengingatkan perpaduan dalam UMNO tetap menjadi asas bagi memulihara kekuatan parti terutama berdepan pembangkang pada PRU akan datang.

"Demi masa depan UMNO, semua pihak sepatutnya mengutamakan agenda perjuangan parti daripada 'memikirkan' kepentingan segelintir puak atau kumpulan tertentu.

"Apa untungnya kepada kita jika UMNO hancur kerana perbalahan atau sengketa sesama sendiri, apabila parti hancur, apakah kita masih lagi berbangga dengan jawatan yang ada?" soalnya.

Menurutnya, tanggungjawab UMNO adalah untuk menyelamat dan memperjuangkan masa depan orang Melayu dan umat Islam di samping mempertahankan maruah negara.

Malah ujarnya lagi, UMNO bukan sekadar menjadi teras kesatuan orang Melayu dan umat Islam, sebaliknya turut menjadi perkongsian bersama kepada rakyat pelbagai kaum dan agama.

"Tidak ada parti yang sentiasa tenang, tetapi asasnya kita perlu berdiri teguh di belakang pucuk pimpinan kerana dengan cara itu parti menjadi kukuh dan kekal relevan," tegasnya.