
Bagi peminat kereta-kereta sport, khususnya penggemar BMW tidak banyak huruf lain yang lebih penting daripada ‘M’. Dari segi sejarah, model paling penting yang pernah menggunakannya adalah M3 – kecil, lincah dan paling sesuai untuk membawa imej sebuah jentera berprestasi tinggi.
Namun, senarai model daripada BMW sudah bertambah, dan dari segi saiz 3 Series adalah lebih besar daripada 2 Series baharu. Lantas, model baharu tersebut memang ditunggu-tunggu untuk turut mendapat perhatian daripada ‘M’. Dan semalam, imej-imej awal M2 Coupe ini sudah dipersembahkan kepada semua.
Fizikal
Sekali imbas, mungkin sukar untuk mengenal pasti perbezaan antara M2 Coupe dengan beberapa model M yang lain; namun yang paling jelas di bahagian hadapan adalah apron hadapan dengan laluan udara yang besar. BMW M4 GTS yang dipersembahkan tidak lama sebelum M2 juga (pada pendapat kami) tidak mendapat rekaan bampar hadapan segarang Coupe ini.

Pengurangan berat datang daripada penggunaan gandar aluminium di hadapan dan belakang. Bahkan, semua lima jari penghubung bagi suspensi
multi-link di belakang dibuat daripada bahan sama yang mengikut BMW, menjimatkan berat sehingga 3kg.
Pacuan
Sepertimana yang sebelum ini digunakan di dalam enjin M3 dan M4, beberapa komponen seperti palam pencucuh berprestasi tinggi, piston dan crankshaft tetap digunakan. Enjin 6-silinder, 3.0-liter TwinPower Turbo menghasilkan sehingga 370hp dan 465Nm, membolehkan M2 Coupe ini untuk mencapai 100km/j sepantas 4.3 saat dan mencapai kelajuan maksimum 250km/j.
(Klik untuk galeri penuh)
Kotak gear standard bagi M2 ini adalah manual 6-kelajuan. Tetapi pembeli juga boleh memilih transmisi klac berkembar M DCT 7-kelajuan generasi terbaharu.
Applikasi ketika pemanduan
Ciri ConnectedDrive oleh BMW pada M2 ini membolehkan penggunaan app yang khusus untuk membantu anda mendapat pengalaman memandu paling istimewa. Antaranya adalah M Lap Timer yang dihasilkan sendiri oleh BMW M GmbH. Applikasi ini boleh digunakan untuk memperbaiki teknik memandu berdasarkan rakaman maklumat kelajuan kenderaan, kelajuan enjin, gear digunakan termasuk juga daya pecutan.

Terdapat juga app yang membolehkan pengguna mengawal kamera GoPro terus daripada pengawal iDrive di dalam kenderaan.
Live Preview juga menjadikan soal menetapkan hala kamera lebih mudah.
Harga bagi M2 Coupe baharu ini masih belum didedahkan, tetapi jangan terperanjat jika ia melebihi RM500,000 di Malaysia.
(Klik untuk galeri penuh)