DUNIA
Presiden AS Trump komited kepada klausa pertahanan bersama NATO

Mark Rutte menyatakan beliau yakin bahawa AS di bawah Trump akan mempertahankan mana-mana anggota pakatan itu sekiranya berlaku serangan. - Gambar fail/REUTERS
THE HAGUE: Setiausaha Agung NATO Mark Rutte pada Rabu menyatakan beliau yakin bahawa Amerika Syarikat (AS) di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump akan mempertahankan mana-mana anggota pakatan itu sekiranya berlaku serangan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Timbul keraguan mengenai tahap komitmen pentadbiran Trump terhadap pertahanan sekutunya, susulan kenyataan yang dilihat seolah-olah mempersoalkan kesungguhan Washington terhadap Eropah.
Pada Selasa, Trump memberitahu wartawan dalam perjalanan ke sidang kemuncak pakatan itu di The Hague bahawa terdapat "pelbagai definisi Artikel 5", iaitu artikel dalam perjanjian penubuhan NATO yang mengandungi klausa pertahanan bersama pakatan itu.
Artikel 5 perjanjian itu menyatakan bahawa "serangan bersenjata terhadap seorang atau lebih daripada mereka di Eropah atau Amerika Utara hendaklah dianggap sebagai serangan terhadap mereka semua."Trump menambah bahawa beliau akan memberikan takrifannya di sidang kemuncak dan bahawa beliau "komited untuk menyelamatkan nyawa."
"Bagi saya, komitmen AS terhadap NATO adalah jelas sepenuhnya, mereka benar-benar komited terhadap Artikel 5," kata Rutte di luar sidang kemuncak itu.
"Lihat apa yang AS lakukan, apa yang Donald Trump lakukan," kata Rutte.
"Mereka membelanjakan hampir satu trilion untuk pertahanan. Setakat ini mereka merupakan penyumbang terbesar NATO. Mereka menyediakan semua keupayaan utama NATO, termasuk di Eropah."
"Mereka adalah sekutu penting. Mereka setakat ini adalah sekutu terbesar dalam NATO. Mereka merangkumi 50 peratus daripada keseluruhan ekonomi NATO," tambahnya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami