Jentera Barisan Nasional (BN) akan meningkatkan usaha dengan memberi tumpuan di lima kawasan di Johor bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

Itu saranan yang dibuat oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak sewaktu mengadakan perjumpaan tertutup bersama pimpinan parti komponen negeri.

Antara kawasan tumpuan tersebut ialah Bakri, Gelang Patah, Kluang, Kulai dan Segamat.

Jelas Pengerusi BN Johor, Datuk Abdul Ghani Othman saranan dibuat bagi membolehkan BN terus mendapat sokongan pengundi.

"Ada beberapa kawasan yang perlu ditumpukan oleh BN Johor untuk kita mendapatkan sokongan daripada pengundi-pengundi di kawasan-kawasan tertentu dan memastikan kita berjaya menempa kemenangan pada kawasan tersebut,” kata Abdul Ghani.

Tambahnya BN negeri juga kini bersiap sedia sepenuhnya menghadapi PRU ke-13.

Malah Najib turut melahirkan keyakinannya yang Johor akan terus dipertahankan sebagai kubu kuat BN.

Sementara itu, ahli majlis tertinggi Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi menegaskan jentera BN perlu sentiasa bersiap sedia tanpa perlu menunggu tarikh sebenar PRU ke-13.

"Perjumpaan Presiden Umno dengan Umno Johor ini mungkin yang terakhir tetapi bagi Umno Johor, saya yakin kita akan bermesyuarat lagi

Beliau menambah “Kesiapsiagaan Umno dan BN di negeri Johor perlu dipertahankan dan tidak semata-mata menunggu tarikh pilihanraya sahaja dan mestilah bekerja bukan sahaja melibatkan soal strategi tetapi taktikal"

Mesyuarat selama empat jam itu turut dihadiri Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien serta pemimpin parti komponen MIC dan MCA.