KUALA LUMPUR: Pembubaran Parlimen boleh dilakukan pada bila-bila masa selepas tarikh 31 Julai ini kerana ia tidak lagi terikat dan melanggar Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi Dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH).

Ahli Jawatankuasa Rundingan dan Pelaksana MoU, Tan Sri Annuar Musa berkata, bagaimanapun, perkara itu terpulang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan.

Begitupun, jelas beliau, perjanjian lain yang termaktub dalam memorandum itu masih berkuat kuasa selepas tarikh 31 Julai kerana MoU berkenaan tidak mempunyai tarikh tamat.

"MoU yang sedia ada ini pula satu MoU yang tidak mempunyai tarikh tutupnya. Ia ditulis di bawah perkara 3 (1) dalam MoU bahawa MoU berkuat kuasa dari tarikh tandatangan sampailah Parlimen dibubarkan. Maka, tak timbul nak buat MoU baharu. MoU masih lagi ada dan terpulang kepada pihak yang tandatangani kerana nak menyemak semula.

"Tetapi setakat MoU sedia ada itu dia masih kekal berkuat kuasa, cuma, kekeliruan timbul itu kerana ada satu klausa menyatakan kerajaan tidak akan mengusulkan pembubaran Parlimen sebelum daripada 31 Julai.

"Jadi tidak ada usul pembubaran sehingga akhir bulan ini, kalau selepas bulan ini, terpulang kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dan kerajaan.

"Jadi tempoh atau pembubaran Parlimen satu isu, tetapi MoU bukan hanya soal pembubaran Parlimen tetapi banyak lagi perkara lain yang telah dicapai persefahaman antara Perdana Menteri dengan pembangkang sepertimana yang tercatit dalam MoU berkenaan," katanya dalam sidang akhbar di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Datuk Seri Ahmad Maslan bahawa UMNO bertegas untuk tidak mahu melanjutkan MoU berkenaan.

Ahmad berkata, ini kerana perkara itu sudah diputuskan dalam Mesyuarat Kerja Tertinggi (MKT) parti dengan pimpinan orang ramai sedia maklum tentang keputusan tersebut.

Mengulas lanjut, Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, apa yang diperkatakan oleh Setiausaha Agung itu adalah betul, dan ia merupakan keputusan yang dicapai di peringkat parti.

Bagaimanapun, kata Annuar, memorandum berkenaan bukan melibatkan parti dengan parti, sebaliknya antara Perdana Menteri dengan PH.

"Pertama, UMNO memang berhak untuk membuat keputusan dan Setiausaha Agung telah menyebut mengenai keputusan UMNO, iaitu UMNO tidak akan mengadakan MoU dan saya fikir UMNO kena patuh.

"Apa yang diumum Ahmad Maslan tidak terkait dengan itu (MoU), tapi adalah keputusan peringkat UMNO... saya fikir elok, tak akan mengadakan MoU dan memang UMNO tak ada (MoU) pun sebelum ini.

"Kerajaan kita dibentuk berdasarkan keputusan UMNO menyerahkan kepada Ahli-Ahli Parlimen dalam soal menyokong siapa untuk menjadi Perdana Menteri dari awal lagi dan Datuk Seri Ismail disokong oleh semua parti dalam kerajaan dan UMNO juga menyokong Perdana Menteri, jadi itu jelas," tambahnya.

Beberapa hari lalu, media melaporkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjelaskan, tarikh akhir MoU antara kerajaan dengan pembangkang, belum lagi muktamad.

Justeru, Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata, pihaknya akan melakukan rundingan bagi melihat masa depan MoU itu termasuk kemungkinan boleh disambung lagi.

Pada 13 September tahun lepas, kerajaan Persekutuan dan PH telah memeterai MoU membentuk kerjasama dwipartisan merangkumi pemerkasaan pelan COVID-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta pembentukan Jawatankuasa Pemandu.