KUALA LUMPUR: Cadangan untuk menaikkan kadar caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) perlu dibuat terhadap syer majikan sahaja tanpa melibatkan kenaikan kadar kepada pekerja.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Datuk Abdul Halim Mansor berkata kesatuan itu bersetuju bahawa terdapat keperluan untuk menaikkan caruman Perkeso, namun kenaikan perlulah diletak di atas tanggungjawab majikan.

"Pihak MTUC memandang serius perkara ini dan bersetuju dengan cadangan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan untuk menaikkan kadar caruman tetapi kami menyarankan agar kenaikan itu mestilah di bahagian caruman majikan, bukan caruman pekerja.

"Ini kerana melihat daripada situasi COVID-19, pihak kerajaan banyak menyalurkan bantuan kepada syarikat-syarikat untuk mengharungi permasalahan berlaku dalam urusan perniagaan sewaktu pandemik itu," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Beliau berkata di negara-negara maju seperti Singapura dan Australia, semua caruman perlindungan sosial pekerja adalah menjadi tanggungjawab majikan dan dibayar sepenuhnya oleh mereka.

"Di Malaysia pula, pekerja perlu membayar 0.05 peratus daripada gaji manakala syarikat membayar 1.25 peratus daripada gaji. Jadi kalau ada cadangan kenaikan, ia mestilah diletakkan di atas tanggungjawab syarikat untuk majikan membayar caruman yang lebih kepada pekerja mereka," katanya.

Abdul Halim turut menyarankan agar satu tabung sosial khas diwujudkan di bawah Perkeso untuk melindungi pekerja yang masih bekerja tetapi terlibat dalam bencana atau pandemik yang menyebabkan berlakunya kehilangan gaji.

Menurut beliau, ketika ini Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) hanya membantu mereka yang dibuang atau ditamatkan perkhidmatan sahaja.

"Kita kena fikirkan untuk mengadakan tabung bencana segera disebabkan masalah bencana negara... sama ada kita membesarkan skop caruman dalam SIP bagi memastikan pekerja mendapat perlindungan lebih baik," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata apa-apa jua cadangan mestilah dibuat pindaan oleh Kementerian Sumber Manusia setelah perkara itu dibincangkan dengan pihak majikan dan pekerja.

"Caruman itu adalah perkara yang termaktub di dalam Akta Perkeso 1969, jadi cadangan itu mesti dibawa kepada Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan untuk dijadikan kertas pindaan bagi akta tersebut," katanya.

Katanya, pada masa sama, selain Perkeso, semua caruman perlindungan sosial lain juga perlu dikaji semula agar memberi impak berkesan untuk melindungi pekerja ketika berlaku bencana yang menjejaskan ekonomi negara.

-- BERNAMA