PETALING JAYA:Lembaga Tabung Haji (TH) menerusi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi bagi membincangkan syarat dan kelonggaran untuk jemaah negara ini menunaikan haji pada tahun hadapan.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, perbincangan tersebut kelak akan meliputi pertimbangan sama ada jemaah Malaysia perlu dibekalkan vaksin COVID-19 atau sebaliknya.

Seperti kelazimannya, Nik Mohd Hasyudeen berkata, mesyuarat antara menteri kedua-dua negara itu akan membincangkan secara teliti segala hal ehwal berkaitan haji dan umrah.

“Jadi pada masa itu, (keputusan pelaksanaan haji) akan diperjelaskan tentang kedudukan dan syarat-syarat yang akan dijalankan. Insya-Allah bila ada penjelasan, kita akan rancang yang terbaik termasuk dari segi sama ada jemaah kita akan dibekalkan vaksin.

“Tetapi setakat ini masih terlalu awal dan kita kena tunggu hasil mesyuarat tersebut,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Tawaran Pembelian Menara VSQ 1, di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai usaha kerajaan meyakinkan Arab Saudi untuk mempercepatkan pelaksanaan haji bagi jemaah negara ini memandangkan Malaysia dijangka menerima vaksin pada suku ketiga tahun depan.

Bagaimanapun, Nik Mohd Hasyudeen tidak memperincikan jangka masa mesyuarat bersama Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi  itu akan berlangsung.

Mengulas lanjut, beliau berkata, TH masih menunggu penjelasaan kerajaan Arab Saudi mengenai pelaksanaan haji pada tahun depan.

Sementara itu, mengulas mengenai perancangan TH untuk 2021 pula, Nik Mohd Hasyudeen berkata, institusi Islam itu komited mencari peluang baharu dalam mempergiatkan pelaburan termasuk dari segi hartanah, ekuiti atau pendapatan.

Pelaburan tersebut, jelas beliau, akan memanfaatkan dan memberi pulangan kepada pendeposit.

Tahun ini, sekitar 10,000 jemaah sahaja berada di kota suci itu untuk menunaikan haji jauh lebih kecil berbanding 2.5 juta jemaah dari seluruh dunia pada tahun lalu susulan pandemik COVID-19.