BUKIT MERTAJAM: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang mengambil masa lebih 10 jam untuk memadamkan kebakaran timbunan sampah di sebuah kilang kitar semula di Kawasan Perindustrian Permatang Tinggi di sini, semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM negeri John Sagun Francis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.54 tengah hari sebelum jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam terus ke lokasi.
Advertisement
"Sebaik tiba, pasukan mendapati kebakaran melibatkan timbunan bongkah sisa kertas dan kotak di kawasan kilang jenis terbuka dengan anggaran keluasan 3,716.12 meter persegi.
“Kebakaran berjaya dikawal pada 3.36 petang dan dipadamkan kira-kira 10 minit kemudian namun operasi hanya ditamatkan sepenuhnya pada 12.04 tengah malam tadi selepas kerja-kerja overhaul selesai dijalankan bagi memastikan tiada bara api lagi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kebakaran itu mengakibatkan kira-kira 80 peratus kemusnahan tetapi tidak melibatkan kecederaan pekerja atau kemalangan jiwa mangsa di kilang tersebut.
Operasi turut mendapat bantuan BBP Sungai Bakap, BBP Batu Kawan dan BBP Bandar Perda, selain 11 Pasukan Bomba Sukarela (PBS) serta sebuah jengkaut bagi membantu kerja-kerja meleraikan timbunan bahan terbakar.
-- BERNAMA