MALAYSIA
Bomba buat laporan polis susulan maklumat palsu kehilangan pempengaruh

Sepanjang operasi SAR selama empat hari itu, lebih 30 pegawai dan anggota JBPM dari Muar, Labis dan Pagoh dikerah ke lokasi kejadian. - Gambar fail
MUAR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah membuat satu laporan polis terhadap seorang pempengaruh permotoran dan adik lelakinya susulan tindakan membuat laporan palsu berhubung kejadian kehilangannya di Sungai Tui, Jalan Bukit Kepong, Isnin lepas.
Ringkasan AI
- JBPM membuat laporan polis terhadap seorang pempengaruh permotoran dan adiknya atas dakwaan membuat laporan palsu kehilangan di Sungai Tui, yang menyebabkan operasi menyelamat selama empat hari melibatkan lebih 30 anggota dan tujuh aset termasuk unit dron.
- Tindakan itu dianggap tidak bertanggungjawab kerana membazirkan sumber dan mengganggu operasi kecemasan lain, serta menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap agensi penyelamat; JBPM berharap individu terlibat tampil memohon maaf secara terbuka.
- Siasatan polis mendapati lelaki berusia 38 tahun itu sengaja mereka kehilangan dan melarikan diri ke negara jiran, manakala adiknya dipercayai bersubahat dengan memberikan keterangan palsu untuk kepentingan peribadi.
"Bukan itu sahaja, ia juga membabitkan risiko kejadian kecemasan yang lain terganggu kerana pegawai dan anggota telah tertumpu di kawasan yang dilaporkan ada insiden. Tindakan ini turut menjejaskan kepercayaan masyarakat kepada agensi seperti kami," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Norshuhada berkata laporan juga bertujuan agar orang awam mengambil iktibar dengan tidak sesekali membuat sesuatu perkara yang tidak berfaedah serta mengganggu tugas anggota penyelamat.
Beliau berkata sepanjang operasi mencari dan menyelamat selama empat hari itu, lebih 30 pegawai dan anggota JBPM dari Muar, Labis dan Pagoh dikerah ke lokasi kejadian sebaik adik pempengaruh itu membuat laporan kehilangan abangnya.
"Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) turut ditugaskan di lokasi pencarian selain penggunaan tujuh aset termasuk milik Unit Dron pasukan bomba.
"Kami agak kecewa apabila menerima maklumat daripada pihak polis bahawa mangsa sebenarnya selamat dan tidak berada di lokasi pencarian," katanya.
Norshuhada turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat khususnya pasukan penyelamat yang telah melaksanakan tanggungjawab dengan dedikasi dan pada masa sama berharap individu terbabit tampil membuat permohonan maaf terbuka.
Baru-baru ini media melaporkan peniaga dan pemilik sebuah kedai aksesori kenderaan hilang selepas kereta jenis Perodua Axia dipandunya terjunam ke dalam Sungai Tui.
Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz pada Sabtu berkata hasil siasatan mendapati lelaki berusia 38 tahun itu dipercayai sengaja 'reka' kehilangannya sebelum bertindak melarikan diri ke negara jiran dan adiknya dipercayai bersubahat dengan memberikan keterangan tidak benar untuk kepentingan peribadi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami