MANJUNG: Seorang kanak-kanak lelaki berdepan detik cemas apabila kepalanya tersepit selama 15 minit di antara celah batu bahagian tembok balkoni, di Taman Samudera, dekat sini, hari ini.

Mangsa yang berusia 4 tahun itu, ketika kejadian dipercayai sedang bermain di bahagian balkoni rumah berkenaan, sebelum kepalanya tersepit.

Difahamkan kejadian itu disedari oleh datuk mangsa dan kemudiannya bertindak menghubungi pihak bomba bagi mengeluarkan kepala mangsa.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.33 pagi.

"Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Manjung bergegas ke lokasi bagi khidmat khas mengeluarkan kepala mangsa tersepit.

"Difahamkan bahawa kanak-kanak tersebut ketika itu tinggal di rumah datuknya," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

Menurut kenyataan itu lagi, anggota bomba berjaya mengeluarkan mangsa dari celahan di antara tempoh batu itu tanpa menggunakan sebarang peralatan khas.

Operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II, Yusop Daud itu tamat pada pukul 10.52 pagi.