Skip to main content

Malaysia

Bomba selamat 2 beradik terperangkap dalam kebakaran rumah

Kebakaran, kanak-kanak - Kredit JBPM
Dua mangsa yang diselamatkan pasukan bomba dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut. - Gambar/ JBPM

PETALING JAYA: Dua beradik dianggarkan berusia empat dan enam tahun berjaya diselamatkan pasukan bomba dalam unit apartmen yang terbakar di Taman Megah Emas di sini, pada Sabtu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.37 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara dihantar ke lokasi.

Advertisement

"Kebakaran melibatkan sebuah rumah apartmen berkeluasan 600 kaki persegi di tingkat tiga bangunan empat tingkat.

“Kebakaran melibatkan kira-kira 50 peratus bahagian ruang tamu rumah tersebut.

“Pasukan bomba menemui dua kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia sekitar empat dan enam tahun di dalam sebuah bilik dalam keadaan separa sedar,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba sebelum diberikan rawatan awal oleh Pasukan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

Mangsa kemudian dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.54 pagi dengan kerja-kerja pemeriksaan lanjut masih dijalankan di lokasi.

Katanya, operasi itu diketuai Komander Operasi, PBK I Muhamad Munir Suied dari BBP Damansara dengan 13 anggota bomba termasuk dari BBP Damansara dan BBP Petaling Jaya.
 

Must Watch Video