Bot bawa 90 PATI karam, seorang lemas, enam selamat

Menurut Adzli, hasil soal siasat ke atas mereka yang selamat memaklumkan setiap daripada mereka membayar kira-kira RM13,000 kepada sindiket bagi perjalanan ke Malaysia. - Gambar fail/Astro AWANI
LANGKAWI: Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditemukan meninggal dunia manakala enam lagi selamat sementara lebih 90 yang lain dikhuatiri hilang selepas bot yang membawa mereka dipercayai karam di laut berhampiran sempadan perairan Malaysia-Thailand dekat sini.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, berkata bot berkenaan adalah sebahagian daripada kapal besar (ibu kapal) yang membawa kira-kira 300 orang terdiri daripada warga Myanmar, Bangladesh dan Rohingya sebelum dipindahkan ke tiga bot kecil ketika menghampiri sempadan negara.
"Lebih kurang tiga hari lalu, sebaik hampir tiba di sempadan perairan Malaysia, kumpulan itu dipecahkan oleh sindiket dengan dipindahkan ke tiga bot kecil, masing-masing memuatkan lebih kurang 90 ke 100 orang.
"Bagaimanapun bot yang membawa 90 orang itu dipercayai karam manakala dua lagi bot tidak dapat dikesan menghala ke arah mana.
"Mangsa yang meninggal adalah wanita Myanmar manakala enam lain ditemui selamat terdiri daripada warga Myanmar, termasuk Rohingya, dan Bangladesh," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Adzli berkata, tiga mangsa pertama yang ditemui pada pagi Sabtu adalah lelaki Myanmar, manakala tiga lagi yang ditemui pada petang hari yang sama terdiri daripada dua Rohingya dan seorang warga Bangladesh.
Menurut Adzli, hasil soal siasat ke atas mereka yang selamat memaklumkan setiap daripada mereka membayar kira-kira RM13,000 kepada sindiket bagi perjalanan ke Malaysia.
“Semua mereka terdiri daripada 300 orang warga Myanmar, Bangladesh dan Rohingya belayar sejak tiga bulan lalu dengan menaiki ibu kapal, bagaimanapun siasatan lanjut kini masih dijalankan,” katanya.
Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan dengan bantuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) untuk mengesan mangsa lain serta mengesan bot yang hilang.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


