LANGKAWI: Tindakan tekong bot yang memastikan semua pemancing dan kru berada dekat antara satu sama lain ketika terapung selama tujuh jam sementara menunggu bantuan selain melakukan 'ikatan manusia' dianggap satu tindakan tepat dan wajar dipuji.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah menyifatkan tindakan itu juga membantu daripada berlakunya kejadian yang lebih buruk.

Beliau juga menzahirkan rasa syukur kerana kejadian berkenaan berlaku tidak jauh dari Pulau Langkawi atau lebih tepat di kedudukan 9.4 batu nautika dari Pulau Singa Besar.

"Apa yang telah dilakukan oleh tekong bot (dengan) memastikan semua pemancing itu berada dalam jarak yang selamat, dan (saya terima) maklumat daripada beliau, dia ada lakukan ikatan antara pemancing tersebut bagi elakkan ada yang hanyut atau terpisah dari kumpulan pemancing,

"Selain itu, alhamdulillah (juga), kesemua 18 orang (itu) memakai jaket keselamatan yang berfungsi dengan baik bagi pastikan pemancing terapung di dalam air untuk tempoh (yang lama) sebelum diselamatkan bot nelayan tempatan," katanya.

Zawawi berkata demikian ketika ditemui media di Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Kedah/Perlis di Bukit Malut, Langkawi pada Ahad.

Dalam perkembangan sama, beliau mengesahkan bahawa salah seorang daripada dua pemancing yang dilaporkan cedera masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi.

"Untuk dua orang yang dihantar ke Hospital (Sultanah Maliha) itu, setelah pemeriksaan mendapati salah seorang mengalami kekejangan otot, walaupun maklumat awal (kita terima) dikatakan patah kaki namun selepas pemeriksaan oleh pihak hospital, (dia hanya) mengalami kekejangan otot.

"(Manakala) lagi seorang pemancing mengalami luka di bahagian tangan, luka berkenaan kalau mengikut laporan daripada pihak hospital agak 'dalam' (serius) dan dijahit oleh doktor yang merawat beliau, sehingga kini pemancing tersebut masih ditahan di hospital sehingga keadaan pulih seperti sediakala.

BACA: 'Bot karam dibadai ombak 5 meter' - Mangsa cerita detik cemas 7 jam terumbang-ambing di lautan

BACA: 18 pemancing, kru bot karam di perairan Langkawi ditemui selamat

BACA: Enam jam terampung, antara hidup dan mati

"Baki 16 lagi pemancing serta kru berada dalam keadaan sihat dan kebanyakan pemancing dibenarkan pulang ke rumah masing-masing," jelasnya.

Pada Sabtu, kesemua 18 pemancing serta kru sebuah bot yang dilaporkan hilang dan karam, dipercayai selepas dipukul ribut di perairan Langkawi ditemui selamat.

Mohd Zawawi berkata semua mereka terdiri daripada 14 pemancing dan empat kru itu diselamatkan sebuah bot nelayan tempatan.