SEMPORNA: Kehilangan tujuh anggota keluarga dalam tragedi bot karam di perairan Kampung Tandoan, Pulau Timbun Mata dekat sini pada Khamis lepas menyebabkan Mazlan Harimalam mengalami trauma terhadap laut.

Mazlan, 24, mangsa yang selamat telah kehilangan ibu, dua adik, dua anak serta dua anak saudara dalam kejadian berkenaan menyebabkan dirinya berasa serik untuk menaiki bot selepas ini.

"Sewaktu kami bertolak dari Kampung Bakung-Bakung ke Tandoan, cuaca baik, air tenang tetapi kira-kira 10 minit mahu sampai tiba-tiba ribut, ombak dari itu bot tiba-tiba karam kemudian tebalik.

"Saya fikir hanya kanak-kanak tapi keadaan waktu itu pun gelap, ribut, ombak, saya dapat tarik tiga sahaja, dua letak di bahu, satu saya pegang dan saya terus berpaut di bot, saya tidak mampu menolong yang lain ketika itu," katanya kepada Bernama.

Anak keenam dari sembilan beradik itu berkata tujuan mereka ke Kampung Tandoan adalah untuk menziarah keluarga dan terus bercuti bagi menyambut Aidilfitri di sana.

Pada Khamis lepas dilaporkan lima maut, dua hilang manakala 14 selamat selepas bot dinaiki karam di perairan Kampung Tandoan manakala dua mayat mangsa yang hilang ditemukan pada Sabtu lepas, menjadikan tujuh individu terkorban dalam tragedi itu.

Bilah Ahmad, 39, pula sedaya upaya bertahan untuk hidup selepas lebih dua jam berpaut di perahu sambil memegang anak perempuan berusia setahun, selain seorang anak saudara turut berpaut di leher, dengan keadaan laut bergelora.

"Dalam fikiran terlintas mati, saya lafaz dua kalimah syahadah dan minta isteri Rubiah Harimalam, 20, turut berbuat demikian, waktu itu badan saya sudah berasa lemah, suara pun hampir tidak terkeluar kerana berkali-kali menjerit minta tolong," katanya.

BACA: Bot karam Semporna: Polis buka kertas siasatan, sebabkan kematian dengan cuai 

Menceritakan detik cemas itu, katanya selepas bot berkenaan terbalik keadaan menjadi kelam kabut, kanak-kanak terkapai-kapai dan ada yang hanyut termasuk ibu mentua, manakala isteri juga hampir hanyut kerana tidak pandai berenang namun dia sempat menarik tangannya untuk berpaut di perahu.

"Sebelum bot itu karam sepenuhnya, saya ambil anak daripada pegangan isteri dan sempat picit hidung anak, hisap mulutnya sebelum tenggelam ke laut, tiga kali kami tenggelam, tetapi sedaya saya bertarung untuk hidup kerana ingat anak dan isteri

"Penduduk datang bawa dua perahu, dalam 9 lebih (malam) menyelamatkan kami, sebelum itu kami semua teriak sekuat hati minta tolong, lama-lama kami hanyut dan semakin dekat ke pesisir pantai. Kebetulan ada seorang yang jalan-jalan ke hujung jambatan, terdengar jeritan kami," katanya lagi.

BACA: Bot karam di Semporna: Juragan ditahan bantu siasatan - Polis 

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Semporna Abdul Manan Indanan menyampaikan bantuan kewangan serta barangan dapur kepada mangsa yang selamat serta waris mangsa lemas.

Beliau yang juga Pemimpin Pembangunan Masyarakat Sulabayan berkata insiden menyayat hati itu adalah mesej jelas agar orang ramai sentiasa mengutamakan keselamatan ketika menaiki bot.

"Pakai jaket keselamatan dan patuhi muatan dalam bot, jangan terlebih, perkara ini juga saya akan bawa dalam Mesyuarat Tindakan Daerah untuk mengingatkan bot-bot penumpang ini menjaga keselamatan.

"Kita juga akan buat kempen kesedaran melalui biro penerangan supaya pengguna jalan laut sentiasa celik dan tidak ambil ringan soal guna jaket keselamatan atau melebihi muatan bot," katanya lagi.

Menjelang sambutan Hari Raya juga, beliau akan mengadakan pertemuan dengan pengusaha bot penumpang di Jeti Balimbang, Pulau Bum Bum bagi mengingatkan supaya tidak mengejar untung semata-mata sehingga mengabai aspek keselamatan menaiki bot.

-- BERNAMA