SEMPORNA: Pihak polis sedang menyiasat insiden bot karam di perairan Kampung Tandoan, Pulau Timbun Mata di sini malam tadi kerana ia menyebabkan kematian dengan cuai.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, susulan itu pihak polis telah membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 304 A Kanun Keseksaan.

Siasatan melibatkan semua aspek insiden tersebut yang mengakibatkan kematian lima penumpang terdiri daripada dua wanita, dua kanak-kanak perempuan serta seorang kanak-kanak lelaki.

"Pihak polis masih mengenal pasti punca kejadian selain berharap orang awam yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkan kepada Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah IPD Semporna, Inspektor Khadijah di talian 019-8718002 atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya dalam  satu kenyataan media.

Sabit kesalahan katanya boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Farhan memberitahu, semua pengusaha bot, penumpang dan penduduk perlu sentiasa menjaga keselamatan dengan mematuhi jumlah muatan penumpang yang dibenarkan serta memakai jaket keselamatan ketika berada di laut.

“Mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Hospital Semporna untuk siasatan lanjut dan usaha mencari serta menyelamat dua lagi mangsa yang hilang masih diteruskan,” katanya lagi.

Dalam kemalangan itu, dua kanak-kanak lelaki dan perempuan masing-masing berumur 7 dan 14 tahun masih hilang, manakala 14 penumpang berjaya diselamatkan orang ramai.

"Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan. Bot dinaiki kesemua penumpang ini dalam perjalanan dari Kampung Bakung Bakung menuju ke Kampung Tandoan, Pulau Timbun Mata," katanya lagi.

Terdahulu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Semporna Komander Maritim Norrimi Hassan berkata lima individu ditemukan lemas apabila sebuah bot pam dipercayai membawa beban lebih muatan karam di kawasan itu.

Dilaporkan bot tersebut membawa 21 orang penumpang.