Operasi mencari dan menyelamat dua lagi mangsa yang hilang dalam kejadian bot karam kira-kira dua batu nautika dari pantai Bagan Sungai Kajang di sini Khamis, dihentikan kira-kira pukul 7.30 malam Jumaat.

Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul ketika dihubungi Bernama, berkata operasi dengan bantuan nelayan kawasan sekitar akan diteruskan pagi Sabtu berikutan keadaan gelap dan air pasang yang menyukarkan usaha mencari.

Bot itu yang dinaiki 14 orang yang terdiri daripada sembilan anggota keluarga dan lima pekerja bot berlepas dari jeti nelayan Sungai Kajang pada pukul 3 petang bagi melakukan upacara membuang abu mayat.

Dua jam kemudian ia dilapor karam semasa dalam perjalanan pulang.

Lima mayat telah ditemui setakat ini sementara dua lagi sedang dicari.

Tujuh orang berjaya diselamatkan nelayan tempatan.