Skip to main content

Malaysia

‘Track Two’ pikul tanggungjawab penting tamatkan operasi ketenteraan

Kuala Lumpur- Angkara Dialogue 2026
Perdana Menteri Anwar (kiri) berucap pada Dialog Kuala Lumpur-Ankara yang dianjurkan bersama Institute of Strategic and International Studies Malaysia dan SETA Foundation, di Kuala Lumpur, pada Selasa. - Gambar Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Komuniti ‘Track Two’ memikul peranan penting dalam usaha menamatkan konflik ketenteraan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Perdana Menteri, ekosistem komuniti itu mewujudkan ruang untuk perbincangan yang jujur serta dialog sukar yang tidak selalu dapat dilakukan di peringkat rasmi.

Advertisement

“Walaupun pelbagai kerajaan, termasuk Malaysia, sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk meyakinkan pihak yang bertelagah supaya menamatkan operasi ketenteraan mereka, kita juga mesti mengakui tanggungjawab untuk memajukan keamanan tidak hanya terletak pada kerajaan semata-mata.

“Mereka dalam komuniti ‘Track Two’ juga memikul tanggungjawab penting di mana ekosistemnya mewujudkan ruang untuk perbincangan yang jujur dan dialog sukar yang tidak selalu dapat dilakukan di peringkat rasmi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Dialog Kuala Lumpur-Ankara yang dianjurkan bersama Institute of Strategic and International Studies Malaysia dan SETA Foundation, di sini, pada Selasa.

‘Track Two’ merujuk kepada perbincangan atau usaha diplomasi di luar saluran rasmi kerajaan itu melibatkan pelbagai pihak termasuk ahli akademik, pakar dasar (think tank), bekas pegawai kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta tokoh masyarakat.

Dalam pada itu, Anwar berkata, dunia kini berdepan realiti pahit peperangan di Asia Barat yang menyaksikan ribuan nyawa terkorban, termasuk kanak-kanak, selain kemusnahan infrastruktur awam seperti jambatan serta kemudahan minyak dan nuklear yang dibom secara tidak terkawal.

Katanya, kos kemanusiaan dan fizikal terus meningkat walaupun usaha diplomatik sedang dijalankan untuk menghentikan keganasan dan memulihkan kestabilan.

Beliau turut menegaskan, kita perlu kekal tenang dan teguh dalam usaha diplomasi demi keamanan dan kestabilan.

“Dunia telah menyaksikan terlalu banyak gencatan senjata yang hanya menjadi selingan antara peningkatan konflik. Apa yang diperlukan ialah penyelesaian sebenar, bukan sekadar pengurusan konflik,” katanya.

Tambah beliau, diplomasi juga perlu melangkaui kerajaan.
 

Must Watch Video