KUALA LUMPUR: Syarikat kejuruteraan elektrik, BPE Engineering & Services Sdn Bhd bakal memberi tumpuan kepada visi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, dengan memperkenalkan produk-produk yang berinovasi dalam bidang penyelenggaraan dan pelaksanaan sistem elektrik.

Pengerusinya, Dato Jamelah Jamaluddin berkata, dengan kepakaran syarikat tersebut dalam sektor minyak dan gas, serta pelaksanaan teknologi baharu mesra alam sekitar, ia dijangka dapat memberi nilai tambah dalam membawa perubahan kepada sektor tersebut.

“Kami melihat peluang untuk meletakkan syarikat ini sebagai pemboleh (enablers) dalam pengurangan gas rumah hijau, serta pengimbang karbon dengan penggunaan teknologi dalam sektor minyak, gas dan tenaga.

“Justeru kami telah mengambil beberapa langkah untuk mengembangkan penawaran perkhidmatan yang akan menambahbaik kepada penyelesaian lestari,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di 19th Asian Oil, Gas and Petrochemical Engineering Exhibitions, di ibu negara, pada Rabu.

Jamelah berkata, langkah itu merupakan transformasi BPE Engineering & Services Sdn Bhd untuk menumpukan elemen berasaskan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) selain mengoptimumkan kepakaran tempatan untuk sebarang keperluan perkhidmatan penyelenggaraan elektrik.

Katanya, ia juga sejajar dengan aspirasi global untuk mencapai sifar pelepasan karbon menjelang 2050.

Sementara itu Pengarah Urusan BPE Engineering & Services Sdn Bhd, Datuk Ir Ts Hj Mohd Isnari Idris berkata, dua produk syarikat yang bakal menjadi 'game changer' ialah kaedah pembersihan sistem dan papan elektrik menggunakan larutan cecair pembersihan elektrik dan elektronik, , serta OPRA Turbine, yang mampu menghasilkan tenaga elektrik daripada bahan buangan.

"Kerana kalau mengikutkan panduan syarikat minyak dan gas, menjelang 2050 akan menjadi sifar bersih pelepasan karbon (NZCE). Untuk mencapai tujuan ini, kami mempunyai OPRA Turbine yang akan membantu kami ke arah visi ini, di mana kami dapat menghasilkan tenaga dari sisa buangan.

“Keduanya, bagi fasiliti sedia ada, kami menawarkan perkhidmatan dan penyelenggaraan menggunakan semburan cecair (terus ke infrastruktur yang mempunyai tenaga elektrik) tanpa memerlukan pemilik menutup papan suis. Ini dapat meningkatkan produktiviti dalaman, serta memandu ke arah kelestarian perniagaan,” katanya lagi.

Bagi Pengarah Bebas Bukan Eksekutif BPE Engineering & Services Sdn Bhd, Ir Daniel Lim Kim Chuan, kedua-dua produk tersebut merupakan sebahagian langkah syarikat untuk memaksimakan usaha mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

“Pelaburan dalam pengimbangan karbon sering tertumpu ke arah solar, tetapi ia lebih daripada itu. Pengimbangan karbon merangkumi penyejukan daerah, merangkumi penukaran sisa ke tenaga, biomass dan sebagainya.

“Apa yang kami tawarkan melalui OPRA Turbine ialah menukar sisa perbandaran ini kepada tenaga, dan kelebihan teknik ini ialah setiap kredit karbon yang anda akan perolehi sangat tinggi,” katanya lagi.

Mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang produk BPE Engineering & Services Sdn Bhd boleh terus melayari https://www.bpe.com.my/.