KLANG: Seorang lelaki maut digilis lori dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Pelabuhan Barat menghala ke Shah Alam, di sini, pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa berusia 50 tahun dipercayai hilang kawalan selepas motosikal ditunggangnya bergesel dengan sebuah lori ketika cuba memotong kenderaan berat berkenaan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 7.36 malam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal di lorong tengah cuba memotong sebuah lori di lorong kanan sebelum motosikal ditunggangnya bergesel dengan kenderaan berat itu.
"Akibat pergeseran itu, mangsa hilang kawalan sebelum terjatuh ke lorong kiri lalu digilis sebuah lagi lori yang berada di lorong berkenaan.
"Mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk proses bedah siasat.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang menyaksikan kejadian berkenaan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Klang Selatan atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Mustakin Najri di talian 012-5826983," katanya.
Tambah beliau, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. -Sinar Harian