Skip to main content

Malaysia

Treler alami kerosakan brek, rempuh enam kenderaan

Kejadian kira-kira jam 9 malam itu membabitkan sebuah treler yang dipandu lelaki tempatan berusia 36 tahun dari arah Westport menghala ke Telok Gong. -Foto Sinar Harian
Kejadian kira-kira jam 9 malam itu membabitkan sebuah treler yang dipandu lelaki tempatan berusia 36 tahun dari arah Westport menghala ke Telok Gong. -Foto Sinar Harian
Advertisement

KLANG: Sebuah treler dipercayai mengalami kerosakan brek sebelum merempuh enam kenderaan di Jalan Pelabuhan Barat, di sini, pada Jumaat.

Kejadian kira-kira jam 9 malam itu membabitkan sebuah treler yang dipandu lelaki tempatan berusia 36 tahun dari arah Westport menghala ke Telok Gong.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, siasatan awal mendapati treler berkenaan dipercayai hilang kawalan selepas sistem brek anginnya tidak berfungsi.

Advertisement

"Treler itu kemudian melanggar empat kereta, sebuah van dan sebuah lori yang berada di hadapannya sebelum terbalik.

"Akibat kejadian itu, pemandu treler berkenaan berjaya dikeluarkan dari kenderaan sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Advertisement

Beliau berkata pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tiba di lokasi kira-kira jam 11 malam bagi menjalankan kerja pembersihan susulan tumpahan minyak di permukaan jalan.

"Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan turut menjalankan kawalan lalu lintas bagi memastikan kelancaran pergerakan serta keselamatan pengguna jalan raya lain.

"Semua kenderaan yang terbabit berjaya dialihkan sepenuhnya dan aliran lalu lintas kembali terkawal," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai diingatkan supaya sentiasa berhati-hati serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan sebelum memulakan perjalanan," katanya. -Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement