Barisan Perpaduan Nasional (BPN) akan menyerahkan memorandum yang mengandungi pandangan dan suara hati orang Melayu berkaitan perpaduan kaum kepada Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak, September depan.

Pengerusi BPN, Tun Abdul Hamid Mohamad berkata memorandum itu merangkumi perkara berkaitan ekonomi, politik, agama dan lain-lain.

Katanya, 15 jawatankuasa dilantik untuk menyediakan memorandum berkaitan selain mendengar pandangan orang ramai mengenai perpaduan nasional.

"BPN mem‎utuskan melantik 15 jawatankuasa dengan pecahan lima kluster merangkumi Perlembagaan, ekonomi, politik dan keselamatan, agama dan pendidikan bagi penyediaan memorandum ini," katanya dalam satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kali kedua BPN di Kelab Sultan Sulaiman, pada Ahad.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor juga bekas menteri Kabinet, Tan Sri Aziz Shamsuddin.

Ibrahim yang juga bekas ahli parlimen Pasir Mas turut dilantik sebagai Pengerusi Penyediaan Memorandum Perpaduan Nasional.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid yang juga bekas Ketua Hakim Negara berkata semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum perlu menghormati perlembagaan negara jika benar mahukan perpaduan nasional tercapai.

Katanya, masalah ketegangan kaum timbul ekoran sikap sesetengah pihak yang tidak menghormati perlembagaan dan berusaha untuk mengubahnya mengikut selera mereka.

"Masalahnya sekarang ini apabila ada sesetengah pihak begitu berani mencabar Perlembagaan Persekutuan.

"Pihak kami akan cuba cari jalan menyediakan memorandum mengenai pandangan orang Islam-Bumiputera kerana kita nak kekalkan perpaduan‎," katanya.

Selain itu, BPN juga akan mengalu-alukan cadangan dan pendapat daripada orang ramai mengenai dasar yang perlu ditekankan dalam memorandum.

Selain itu, sebanyak 300 surat jemputan akan dihantar kepada jabatan dan institusi kerajaan bagi meminta mereka mengemukakan cadangan bagi mengukuhkan memorandum.

"Cadangan dalam bentuk memorandum boleh dihantar secara sendri, pos atau emel sebelum 15 Jun ini," katanya.

Bagi mengukuhkan pelaksanaan itu, sekretariat BPN juga akan menganjurkan dialog awam di beberapa negara seperti Johor, Kedah, Terengganu dan Sabah.

BPN ditubuhkan atasa inisiatif Perkasa sebagai alternatif kepada Majlis Kosultasi Perpaduan Negara (MPKN).