KUALA LUMPUR: Badan Perhubungan Negara United Kingdom & Eire (BPN UKE) menggesa penstrukturan semula elaun sara hidup pelajar tajaan JPA-MARA yang mana jumlah berkenaan tidak berubah sejak tahun 2012.

BPN UKE dalam satu kenyataan berkata, masalah kesenjangan pendapatan pelajar JPA dan MARA ini berpunca daripada klasifikasi elaun kawasan Zon A dan Zon B yang tidak selari dengan keperluan semasa.

“Perkara itu menyebabkan pemberian elaun yang tidak setara dengan kos sara hidup berlaku,

“Tinjauan yang dijalankan oleh JPA-Mara Special Operation pada Februari lalu menunjukkan di kota-kota utama seperti Bristol, Edinburgh dan London, lebih 60% pelajar tajaan JPA dan MARA yang majoriti golongan B40 terbeban dengan perbelanjaan harian mereka,” kata kenyataan itu.

Di United Kingdom, indeks harga makanan naik mendadak pada kadar 5.9% pada Mac 2022, ia merupakan angka tertinggi dalam tempoh 10 tahun.

Manakala indeks harga sewa meningkat 12.9% sejak tahun 2015.

“Perbezaan antara nilai tersebut terpaksa ditanggung kebanyakan pelajar melalui pemotongan bajet seperti dengan cara mengikat perut, mendapatkan penempatan yang jauh daripada universiti, serta serta bekerja sambilan di luar waktu kelas, semata-mata untuk menampung keperluan harian,” kata kenyataan itu.

Menyedari akan situasi kritikal ini, BPN UKE telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi bersama-sama membantu mencari penyelesaian segera untuk menangani krisis kos sara hidup yang melanda pelajar-pelajar tajaan JPA-MARA.

jawatankuasa ini akan bertanggungjawab menjalankan kajian terperinci berkenaan sebarang cadangan polisi sebelum dibentangkan kepada JPA, MARA dan Kabinet untuk tindakan susulan.