KUALA LUMPUR: Pergerakan berhati-hati China dalam agenda Belt Road Initiative (BRI), serta peningkatan program pembiayaan infrastruktur dari Barat, khususnya Amerika Syarikat (AS), perlu dimanfaatkan sebaik mungkin negara ASEAN, khususnya Malaysia.

Bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, beliau mengakui kedua-dua inisiatif itu adalah tambahan kepada persaingan geopolitik China dan AS, namun beliau percaya Kerajaan Malaysia mampu mengimbangi risiko yang terhasil daripadanya.

Khairy berkata, AS kini dilihat mula memperluaskan polisi ‘friend-shoring’nya ke negara ASEAN dengan Vietnam antara yang menjadi pilihan utama khususnya dalam sektor semikonduktor, dan Malaysia tidak seharusnya ketinggalan.

"Saya melihat (friend-shoring AS) ini adalah satu keuntungan kepada negara-negara seperti Malaysia, Asia Pasifik dan sebagainya. Kita perlu mainkan peranan kita dengan berhati-hati, tetapi mengambil peluang ini untuk mengambil peluang daripada kedua-dua belah pihak seperti mana sebelum ini.

“Dan saya rasa, ya mungkin kita tidak tersenarai dalam 'friend-shoring buat masa ini tetapi tidak bermakna bahawa kita tak boleh sepertimana yang kita buat dahulu, strategic neutrality. Kita cuba dapat keuntungan daripada kedua-dua belah pihak. Jadi saya melihat ini sebagai satu nilai tambah,” katanya sewaktu bersiaran dalam Episod ke-49, podcast Keluar Sekejap baru-baru ini.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan, AS mula melihat Vietnam sebagai rakan kongsi berpotensi tinggi dalam sektor tenaga hijau serta pembangunan rantaian bekalan yang mampan, menerusi polisi ‘friend-shoring’ mereka.

Ia merupakan sebahagian langkah AS untuk mengurangkan kebergantungan yang tinggi terhadap rantaian bekalan dari China, dengan mengembangkan sektor pembuatan mereka, serta memacu hubungan dagang dengan rakan-rakan yang dipercayai.

Sementara itu, momentum BRI China, yang dahulu dikenali sebagai One Belt, One Road – pembiayaan projek-projek infrastruktur di wilayah tertentu termasuk rantau ASEAN – semakin perlahan susulan kemelesetan ekonomi, impak COVID-19, serta pembayaran balik yang agak perlahan.

Selain itu media melaporkan, 60 peratus pinjaman luar negara China pada 2022 disalurkan kepada peminjam yang mempunyai masalah kewangan, berbanding hanya lima peratus pada 2010, menyebabkan Presidennya Xi Jinping melihat keperluan untuk menstruktur semula polisi tersebut.

Dalam pada itu, Shahril Hamdan berkata, tumpuan AS kepada Vietnam mungkin menggugat visi Malaysia untuk menjadi hab semikonduktor peringkat global.

“Kita tahu saingan kita paling utama dalam rantau ini ialah Vietnam kerana AS sudah pun mempunyai satu dasar yang agak jelas untuk cuba mempengaruhi syarikat-syarikatnya, syarikat-syarikat Amerika Syarikat - Intel, Micron Technologies dan sebagainya.

“Dan juga yang ada syarikat-syarikat Barat lain dalam ruangan yang sama dalam semikonduktor ini untuk mengurangkan pendedahan mereka kepada China, dan berpindah pusat pangkalan mereka kepada negara-negara yang lebih friendly (mesra) kepada Amerika Syarikat,” katanya lagi.

Shahril berpandangan, jika Malaysia gagal untuk merebut peluang tersebut, subsidi bernilai tinggi dari AS sudah pasti akan pergi ke Vietnam.

“Jadi saya harap dalam naratif Ekonomi MADANI, dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030), ada usaha geopolitik seperti ini supaya Malaysia tidak ketinggalan,” katanya lagi.