MALAYSIA
BRI: Malaysia cadang ECRL dipanjangkan ke sempadan Thailand – PM Anwar

Anwar (dua dari kiri) diiringi Mohamad (kiri), Anthony Loke (dua dari kanan) dan Tengku Zafrul pada sidang media bersama wartawan Malaysia di Beijing, China, pada Rabu. - Gambar ihsan Pejabat Perdana Menteri
BEIJING: Ada keperluan untuk memanjangkan lingkaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Kota Bharu, Kelantan, merentasi daerah Rantau Panjang hingga ke sempadan Thailand, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, perkara itu dibangkitkan beliau dalam pertemuan bersama Presiden China, Xi Jinping dan rakan sejawatnya, Li Qiang, kerana ia berkait dengan Inisiatif Jalur dan Laluan China (BRI).
“Sekarang ini ECRL tamat di Kota Bharu. Jadi sebaiknya kita kata terus sampai ke sempadan Thailand. Jadi cadangan itu ke arah itu sahaja. Itu dalam sekitar 25 kilometer ke Rantau Panjang, sempadan Thailand.
“Dan ini diharap dapat kerana kawasan dari Kota Bharu ke Rantau Panjang khususnya Rantau Panjang itu masih kawasannya agak ke belakang sedikit, jadi kita harap dengan cadangan ini, dan ada stesen di situ, ekosistem pembangunan dan perniagaan itu dapat ditingkatkan,” katanya lagi.Perdana Menteri berkata demikian dalam sidang media bersama wartawan Malaysia sempena penghujung lawatan kerja empat hari beliau ke Tianjin dan Beijing yang bermula 31 Ogos lepas.
Turut menyertai sidang media tersebut ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Anwar berkata, setakat ini cadangan masih di peringkat awal dan ia akan disusuli dengan perbincangan di peringkat menteri dan pegawai perincian termasuk kos dan sebagainya.
Untuk rekod, ECRL dibina oleh syarikat milik kerajaan China iaitu China Communications Construction Company (CCCC) melalui subsidiarinya China Harbour Engineering Company Ltd.
Dengan laluan sepanjang 665 km yang menghubungkan Pantai Timur (Kota Bharu) dengan Pantai Barat (Port Klang), ia menjadikan Malaysia sebagai jambatan darat strategik dalam rangkaian BRI.
Dilihat sebagai simbol kerjasama strategik Malaysia-China, ECRL bukan sekadar projek infrastruktur, tetapi ia juga dilihat sebagai penanda aras diplomatik dalam konteks ASEAN dan BRI, selain dijangka menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak 2.7 peratus.
Sementara itu, dalam sidang media yang sama, Tengku Zafrul berkata, pertemuan di antara Perdana Menteri dan beberapa syarikat seperti serta dialog perniagaan dalam lawatan tersebut telah menjana potensi pelaburan berjumlah RM905 juta.
“(Jumlah pelaburan) RM905 juta dalam sektor kimia dan telekomunikasi. Dari segi eksport juga pencapaian hasil utama itu adalah potensi pembelian dari Malaysia. Dari Potensi eksport kita lebih kurang RM180 juta untuk ‘jd.com’ contohnya.
“Yang Amat Berhormat Perdana Menteri juga berjumpa dengan China Semiconductor Industry Association (CSIA, di sana kita juga ada berbincang dengan MATRADE, dia ada potensi eksport juga sebanyak RM2.2 bilion ringgit dalam tempoh 1-2 tahun akan datang kerana potensi semikonduktor ini dari segi perdagangan antara Malaysia dan China pun meningkat,” kata Tengku Zafrul lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami