BEIJING: Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) yang diketengahkan Presiden China Xi Jinping hadir tepat pada masanya dan telah mencapai kemajuan positif, kata Presiden Rusia Vladimir Putin.

Beliau berkata BRI menghimpunkan tenaga semua negara ke arah merealisasikan matlamat pembangunan bersama.

"Inisiatif itu sangat baik. Konsep kerjasama yang dicadangkan China amat bagus kerana ia merangkumi rangka kolaborasi tanpa sebarang paksaan.

"Semua kerja adalah mengenai penerokaan pendekatan yang boleh diterima semua untuk mencapai matlamat bersama," kata beliau semasa temu bual eksklusif bersama Kumpulan Media China (CMG).

Putin berkata China tidak mengamalkan pendekatan secara paksa, sebaliknya menawarkan banyak peluang.

Beliau turut memuji pembinaan bersama BRI memperlihatkan Presiden Xi mempunyai visi berorientasikan masa depan.

Menyentuh mengenai kerjasama dua negara, Putin menyifatkan kerjasama itu berada di landasan yang tepat.

Beliau berkata ikatan hubungan kedua-dua negara merupakan hasil usaha sama selama 20 tahun dalam menggalakkan perkembangan yang stabil.

"Setiap langkah diambil berdasarkan kepentingan dua negara, amalan yang disepakati kedua-dua pihak.

"Rusia dan China sentiasa mendengar pendapat dan mempertimbangkan kepentingan satu sama lain apabila usaha diteruskan untuk memantapkan hubungan dua hala," tambah beliau.

Rusia merupakan pembekal tenaga terbesar China, manakala China beransur-ansur menjadi rakan dagang terbesar bagi negara itu.

Jumlah perdagangan antara kedua-dua negara dijangkakan melebihi US$200 bilion (RM956.1 bilion) menjelang akhir tahun ini.

"Hubungan Rusia-China adalah faktor asas kestabilan dunia. Kedua-dua negara bergerak mengikut haluan yang betul dan ini selaras dengan kepentingan rakyat dua negara," kata Putin.

-- BERNAMA