KUALA LUMPUR: Hanya satu projek dari China yang dikenal pasti dan diiktiraf sebagai projek rasmi di bawah Belt Road Initiative (BRI), iaitu Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP) di Pahang, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian (MITI), Liew Chin Tong berkata, semua pelaburan dari China perlu melalui tapisan ketat oleh kerajaan melalui Majlis Pelaburan Negara (NIC) dan Jawatankuasa Nasional Mengenai Pelaburan (NIC).

Jelas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu lagi, MITI akan sentiasa bekerjasama dengan kementerian-kementerian, agensi pengawal selia, kerajaan negeri serta pemegang taruh yang berkaitan untuk memastikan program serta projek pelaburan asing di bawah BRI adalah selaras dengan perundangan negara, peraturan dan polisi kerajaan.

“Hanya satu projek iaitu MCKIP dan China-Malaysia Qinzhou Industrial Park (di Guangxi, China), yang dianggap sebagai projek BRI buat setakat ini. Dan NIC serta NCI ditubuhkan untuk tujuan itu. Semua cadangan pelaburan akan ditapis oleh kerajaan melalui MITI dengan jawatankuasa-jawatankuasa ini yang dihadiri pelbagai agensi, bagi memastikan semua projek pelaburan bawa manfaat kepada rakyat

“Negara kita berstatuskan sebagai non-aligned atau tidak berpihak, dan berkecuali, jadi kita sentiasa memastikan dasar ekonomi dan dasar geopolitik kita sama, iaitu tidak memihak, dan berkecuali,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN – Machang) jika kerajaan mempunyai protokol, atau dasar untuk audit dari segi keselamatan dan sekuriti, bersama MKN dan Mindef, bagi memastikan semua projek BRI mempunyai ketelusan daripada segi impak keselamatan terhadap Malaysia.

Beliau berkata, banyak pihak berpandangan BRI merupakan geostrategi China untuk mewujudkan dasar semak dan imbang seterunya, khususnya Amerika Syarikat yang mungkin mempunyai niat untuk menghalang perdagangan China melalui Laut China Selatan.

Dalam soalan asalnya, Wan Ahmad Fayhsal ingin mengetahui pendirian kerajaan terhadap pelaburan China di Malaysia, khususnya melalui BRI, selepas mengambil kira prospek risiko tersembunyi pinjaman dan implikasi jangka panjang seperti kos alam sekitar, potensi ‘perangkap hutang’, dan risiko kedaulatan negara.

Dalam jawapan bertulis yang diedarkan di Dewan Rakyat, Chin Tong berkata, sehingga Oktober 2023, MCKIP telah merekodkan nilai pelaburan terkumpul lebih daripada RM31 bilion untuk 21 projek yang dijangka mewujudkan lebih 14,000 peluang pekerjaan.

Daripada jumlah itu, beliau berkata, RM14.6 bilion daripada pelaburan dalam MCKIP telah direalisasikan setakat ini, dengan kemungkinan memperluaskan lagi kawasan MCKIP daripada 1,200 ekar kepada 3,500 ekar.

“Berdasarkan perkembangan pembangunan Taman Berkembar Dua Negara, MITI sebagai kementerian bertanggungjawab ke atas pelaksanaan dan pemantauan BRI di Malaysia, sentiasa komited untuk mengenal pasti peluang baharu di bawah BRI, untuk menjana momentum positif dalam hubungan dua hala Malaysia dan China,” katanya lagi.