NEW DELHI: Pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan kemakmuran sejagat mustahil dicapai selagi perang serta pencerobohan berterusan rejim Israel di Asia Barat dibiarkan mencetuskan ketidakstabilan global.
Amaran tegas itu disuarakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan bahawa impak ketenteraan dan ketegangan serantau, termasuk peningkatan ketegangan membabitkan Gaza dan rantau Asia Barat, kini telah merebak jauh melangkaui pihak-pihak yang bertelagah secara langsung.
Menurut Anwar, tindakan ganas tanpa kawalan itu bukan sahaja meragut nyawa orang awam yang tidak berdosa, malah secara langsung melonjakkan harga bahan api dan tenaga serta mengancam keselamatan laluan maritim antarabangsa yang menjadi urat nadi perdagangan dunia.
Akibatnya, negara-negara luar yang tidak terlibat dalam peperangan terpaksa menanggung beban ekonomi melalui tekanan inflasi yang meruncing dan ketidaktentuan pasaran.
"Pendirian Malaysia kekal jelas. Kedaulatan sesebuah negara mesti dihormati, keselamatan orang awam wajib dilindungi, dan laluan utama ekonomi global tidak wajar dijadikan medan pertempuran.
"Pihak-pihak yang mempunyai keupayaan dan kuasa terbesar untuk mencorakkan situasi ini memikul tanggungjawab berat bagi menghentikan ketegangan daripada terus memuncak," tegas beliau.
Kenyataan keras itu dizahirkan Perdana Menteri semasa menyampaikan Kenyataan Negara pada sesi pleno Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 di Bharat Mandapam, di sini pada Ahad.
Justeru, Anwar menggesa anggota blok BRICS tidak berdolak-dalih dan menyatakan pendirian tegas menolak kezaliman yang berlaku di tanah Palestin.
"Malaysia berharap BRICS akan menyatakan secara jelas dan tanpa ragu-ragu perkara yang sepatutnya tidak perlu dipertikaikan lagi: bahawa pendudukan haram, penjajahan, atau lebih tepat lagi 'keganasan peneroka' (settler terrorism) tidak boleh sesekali dijadikan takdir hidup rakyat.
"Tiada satu pun nyawa manusia yang bernilai lebih rendah hanya disebabkan di mana bumi tempat mereka berpijak," katanya.