Tokoh ekonomi dari Sabah dan Sarawak dilantik sebagai anggota Majlis Tindakan Ekonomi (EAC), menjadikan jumlah terkini anggota majlis itu kepada 13 orang.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, tokoh yang dilantik adalah tokoh perbankan terkenal Sabah, Datuk Bridget Lai @ Bridget Anne Chin Hung Yee dan Pengerusi Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak, Datu Abang Halmi Ikhwan.

Kenyataan tersebut turut menjelaskan Mesyuarat EAC hari ini juga memberi tumpuan khusus terhadap pandangan serta rungutan daripada kalangan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang berhadapan cabaran sangat getir berikutan wabak COVID-19.

"Bagi meringankan beban penyewa, semua pemilik premis perniagaan swasta atau persendirian digesa mempertimbangkan pemberian diskaun, penangguhan atau pengecualian bayaran sewa ke atas peniaga yang tidak dapat menjalankan perniagaan.

"Unit LAKSANA Kementerian Kewangan juga turut membentangkan laporan pemantauan Pakej Rangsangan Ekonomi yang telah diumumkan bagi memastikan objektif yang digariskan kerajaan tercapai," jelasnya.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, tokoh yang dilantik adalah tokoh perbankan terkenal Sabah,  Datuk Bridget Lai @ Bridget Anne Chin Hung Yee dan Pengerusi Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak,  Datu Abang Halmi Ikhwan.



BACA: Kabinet umum penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi

Untuk rekod, EAC ditubuhkan sebagai langkah segera untuk menangani cabaran ekonomi negara yang tidak menentu berikutan penurunan harga minyak dan impak COVID-19.

EAC yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan bersidang setiap Isnin dan mesyuarat pertamanya berlangsung 16 Mac lalu.

Majlis berkenaan dianggotai Menteri Kanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kewangan, Datuk Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Ahli lain EAC termasuk Gabenor Bank Negara dan beberapa individu yang mahir dalam pelbagai bidang.