MELAKA: Sebuah syarikat berkaitan kerja-kerja perkayuan didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini kerana membuang sisa pepejal komersial secara haram pada Ogos tahun lepas.

Hakim Darmafikri Abu Adam menjatuhkan hukuman itu terhadap Jun Kiat Trading yang merupakan Orang Kena Saman (OKS) selepas pengarah syarikat itu Tan Choon Kiat, 55, mengaku bersalah atas pertuduhan.

OKS membayar denda tersebut.

Syarikat itu didakwa melonggokkan sisa pepejal terkawal iaitu sisa pepejal komersial di tanah milik nombor GRN 61453 yang beralamat Lot 26957 Mukim Batu Berendam pada 1.10 petang, 16 Ogos 2022.

Pertuduhan mengikut Seksyen 71 (1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 71 (8) akta sama yang boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Abd Hadi Abd Wahab memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal atas alasan kesalahan itu melibatkan persekitaran dan kesihatan kerana dilakukan berhampiran kawasan perumahan.

Beliau berkata, perbuatan OKS telah meningkatkan kos pembersihan yang perlu ditanggung oleh kerajaan kerana tidak dilakukan di tempat dan kaedah yang betul.

OKS yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda minimum atas alasan ia kesalahan pertama syarikat selain terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mengikut fakta kes, pemantauan dan pengintipan penguat kuasa SWCorp cawangan Hang Tuah Jaya dan SWCorp Melaka di Taman Sutera Wangi mendapati sebuah lori mencurigakan dengan muatan penuh sisa pepejal terkawal (sisa pepejal komersial) telah melonggokkan bahan itu di kawasan tersebut.

Siasatan mendapati sisa longgokkan tersebut dilakukan sebuah syarikat perniagaan berkaitan kerja-kerja kayu seperti baik pulih perabot dan kabinet dapur.

Semakan dengan pihak Pejabat Tanah dan Galian Melaka mendapati tanah tersebut merupakan tanah milikan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan. - BERNAMA