Selepas 1 Julai 2019, pembayar cukai yang dikesan tidak patuh dalam pengisytiharan cukai pendapatan boleh dikenakan penalti antara 80 hingga 300 peratus.

Menurut Pengarah Bahagian Komunikasi, Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM, Syarein Abu Samah, pembayar cukai patut merebut peluang untuk membuat pengisytiharan pendapatan dalam tempoh yang diberikan bagi menikmati kadar penalti yang jauh lebih rendah iaitu 10 peratus hingga 15 peratus daripada amaun cukai yang kena dibayar dan bayaran boleh dibuat secara ansuran.

Tambahnya lagi, hasil kerjasama pertukaran maklumat dengan pelbagai agensi termasuklah pihak antarabangsa membolehkan LHDNM memiliki kemampuan untuk menggunakan analisis data raya tersebut bagi mengesan kegagalan pembayar cukai membuat pengisytiharan pendapatan yang betul.

"Sekiranya pembayar cukai ini menghubungi kami, kita akan nasihatkan mereka di mana apabila semua pihak mencapai persetujuan bersama, penalti yang dikenakan masih lagi tertakluk kepada Program Khas Pengakuan Sukarela PKPS, " kata Syarein dalam Agenda AWANI yang bersiaran pada Isnin.


Jelas Syarein, pembayar cukai, ahli keluarga mahu pun rakan kongsi perniagaan mereka tidak akan diaudit atau disiasat sekiranya membuat pengakuan sukarela.

"LHDNM akan menerima pengakuan anda dengan suci hati dan tindakan audit serta siasatan tidak akan dilakukan terhadap pengakuan sukarela anda."

Sebelum ini, PKPS telah diumumkan dalam pembentangan Bajet 2019 dan ia adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan dalam melakukan reformasi percukaian bagi menggalakkan pembayar cukai tampil secara sukarela mengisytiharkan pendapatan sekaligus berupaya mengatasi masalah ketirisan hasil negara.

Penjelasan terperinci mengenai PKPS ini dalam temu bual penuh Agenda Awani di sini.




INFOGRAFIK: Apa anda perlu tahu untuk elak penalti cukai hingga 300 peratus