Ringkasan AI
- Seramai 274 calon SPM 2026 di Negeri Sembilan dikenal pasti berisiko terjejas akibat bencana Monsun Timur Laut termasuk banjir dan tanah runtuh.
- JPNS menyediakan pelan pengurusan risiko, penempatan asrama, dan 15 sekolah sebagai Pusat Peperiksaan Alternatif untuk memastikan kelancaran peperiksaan.
- Bilik Gerakan JKPP JPNS telah beroperasi bagi menyelaras tindakan risiko peperiksaan dan boleh dihubungi di talian 06-764 8648.
SEREMBAN: Sebanyak 274 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 di Negeri Sembilan dikenal pasti berdepan risiko bencana susulan Monsun Timur Laut (MTL) termasuk banjir, laluan terputus hubungan dan tanah runtuh.
Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan Khalidah Omar berkata daripada jumlah itu, 184 calon berisiko menghadapi masalah laluan ke sekolah akibat dinaiki air atau terputus hubungan manakala calon tinggal di rumah yang berisiko banjir (78) dan 12 pelajar berdepan risiko tanah runtuh.
Beliau berkata Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) telah membuat persediaan menerusi pelan pengurusan risiko dan bencana bagi memastikan kelancaran peperiksaan awam serta keselamatan calon, petugas dan bahan sulit peperiksaan sepanjang tempoh berkenaan.
"Sebagai persediaan awal bagi memastikan calon berisiko terjejas banjir tidak tercicir daripada menduduki peperiksaan, JPNS menawarkan kemudahan penempatan di asrama sekolah berhampiran kediaman masing-masing.
"Daripada 31 asrama harian di negeri ini, sebanyak 30 masih mempunyai kekosongan dan kapasiti untuk menerima calon memerlukan penempatan berkenaan. Selain menempatkan 15 sekolah di seluruh daerah ditetapkan sebagai Pusat Peperiksaan Alternatif SPM 2026 bagi menghadapi sebarang kemungkinan gangguan akibat bencana,” katanya kepada Bernama hari ini.
Khalidah berkata JPNS turut mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Pengurusan Peperiksaan (JKPP) bersama agensi berkaitan di peringkat negeri dan daerah dengan menumpukan pada enam operasi khas iaitu Operasi Payung, Operasi Wabak, Operasi Bom, Operasi Gempa, Operasi Topeng dan Operasi Tebuk.
Beliau berkata Bilik Gerakan JKPP JPNS yang berpusat di Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan telah mula beroperasi bagi menyelaras pengurusan serta tindakan berkaitan risiko peperiksaan dan boleh dihubungi menerusi talian 06-764 8648.
Sementara itu, Khalidah berkata sebanyak 17,463 calon SPM berdaftar di Negeri Sembilan tahun ini berbanding 17,384 pada tahun lepas termasuk calon persendirian seramai 1,245 orang.
Beliau berkata daripada jumlah itu, seorang calon SPM berusia 59 tahun menduduki peperiksaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Mantin dengan mendaftar bagi mata pelajaran Geografi manakala terdapat empat calon lagi menduduki peperiksaan di hospital.
-- BERNAMA