MALAYSIA
BUDI95: KDN tawar penukaran cip MyKad rosak percuma mulai 23 Sept

Saifuddin Nasution berkata penukaran cip MyKad yang rosak secara percuma ini boleh dibuat di mana-mana kaunter dan pejabat JPN seluruh negara. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengumumkan tawaran penukaran cip MyKad rosak secara percuma bermula 23 September hingga 7 Oktober 2025.
Ringkasan AI
- Kerajaan tawar penukaran cip MyKad rosak secara percuma di semua kaunter JPN dari 23 September hingga 7 Oktober 2025 bagi memastikan rakyat dapat menikmati subsidi BUDI95 tanpa gangguan teknikal.
- Langkah ini susulan peningkatan permohonan penggantian MyKad rosak, dengan 294,715 permohonan direkodkan JanuariOgos 2025 dan purata 43,000 permohonan sebulan sejak tiga bulan kebelakangan.
- KDN menyeru rakyat menjaga MyKad kerana ia kunci akses kepada pelbagai kemudahan kerajaan, termasuk subsidi bersasar, selaras dengan prinsip inklusiviti dan kepedulian Kerajaan MADANI.
“Kerajaan MADANI prihatin untuk menanggung sepenuhnya kos tersebut dalam tempoh ini bagi memastikan akses rakyat kepada subsidi ini tidak akan sekali-kali terjejas hanya kerana masalah teknikal pada MyKad dan setiap warganegara yang layak dapat menikmati manfaat subsidi BUDI95 dengan lancar,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan pada Isnin.
Mengikut rekod JPN, bagi tempoh Januari hingga Ogos 2025, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah menerima sebanyak 294,715 permohonan penggantian MyKad di bawah kategori cip atau kad rosak.
“Trend permohonan ini juga menunjukkan peningkatan ketara sejak tiga bulan kebelakangan, sebanyak 32,819 permohonan pada Jun, meningkat kepada 40,371 pada Julai, dan melonjak lagi kepada 45,411 pada Ogos.
“Manakala bagi bulan September, sehingga 21 haribulan sahaja, JPN telah menerima sebanyak 22,858 permohonan,” tambahnya.
Tambah beliau lagi, berdasarkan purata penggantian dua bulan terkini, purata permohonan bagi kategori cip rosak direkodkan pada sekitar 43,000 unit cip sebulan.
Saifuddin turut menyeru rakyat Malaysia untuk sentiasa memastikan MyKad berada dalam keadaan baik, kerana ia bukan sahaja dokumen pengenalan diri, tetapi juga kunci kepada pelbagai kemudahan kerajaan termasuk subsidi bersasar BUDI95.
“Kerajaan MADANI berpegang teguh kepada prinsip kepedulian dan inklusiviti, memastikan setiap rakyat Malaysia menerima manfaat yang dijanjikan tanpa ada yang tercicir,” ujarnya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami