MALAYSIA
BUDI95: MoF, JPJ kerjasama selesai segera isu teknikal sebelum 30 Sept

Menurut Lim, meskipun ia kes terpencil kerana hanya melibatkan beberapa individu namun pihaknya tetap mengambil serius perkara berkenaan. - Gambar fail/Bernama
BUTTERWORTH: Kementerian Kewangan (MoF) sedang bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk segera menyelesaikan isu teknikal berkaitan semakan kelayakan Program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) sebelum pelaksanaan penuh pada 30 Sept ini.
Ringkasan AI
- Kementerian Kewangan bekerjasama dengan JPJ untuk menyelesaikan isu teknikal semakan kelayakan Program BUDI95, susulan aduan individu layak tetapi tidak tersenarai.
- Orang ramai digesa menyemak kelayakan di laman web rasmi dan membuat aduan jika menghadapi masalah, dengan jaminan isu akan diselesaikan sebelum pelaksanaan penuh pada 30 September.
- Setiap individu layak diberi had pembelian 300 liter sebulan, dan pelaksanaan BUDI95 berjalan lancar dengan pelbagai kaedah pembayaran seperti aplikasi Setel, e-dompet dan tunai.
"Semalam memang kita ada terima beberapa aduan mengatakan mereka ada lesen dan MyKad sah, tetapi didapati tidak layak. Kementerian kini sedang berbincang dengan JPJ dan kami akan selesaikan masalah teknikal ini secepat mungkin, sebelum 30 Sept," katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan BUDI95 melibatkan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di stesen minyak di Jalan Raja Uda di sini hari ini.
Justeru beliau menggesa orang ramai supaya menyemak profil kelayakan di laman sesawang https://www.budimadani.gov.my/, dan bagi mereka yang menghadapi masalah diminta membuat aduan bagi membolehkan siasatan serta tindakan lanjut dijalankan segera.
Lim berkata selain pusat khidmat aduan, orang ramai juga boleh menghubungi talian 1300-88-9595 dengan memberikan maklumat berkaitan seperti nama, nombor kad pengenalan dan lesen memandu sah bagi tujuan pengesahan serta tindakan susulan.
"Di sini saya ingin tegaskan bahawa selagi individu itu adalah rakyat Malaysia yang layak, mereka berhak 100 peratus untuk menikmati manfaat BUDI95. Mungkin ada sedikit kelewatan atau gangguan teknikal di sana sini, tetapi kita akan pastikan isu ini dapat diselesaikan secepat mungkin," katanya.
Sementara itu, menjelang pelaksanaan penuh BUDI95 pada 30 Sept ini, beliau menasihati orang ramai supaya bertenang dan membuat pembelian seperti biasa.
Lim berkata tiada keperluan untuk tergesa-gesa kerana setiap individu yang layak telah ditetapkan had sebanyak 300 liter sebulan dan pembelian boleh dibuat pada bila-bila masa sepanjang tempoh tersebut mengikut keperluan masing-masing.
Terdahulu, beliau memaklumkan pelaksanaan BUDI95 melibatkan penerima STR sebagai kumpulan kedua menikmati inisiatif itu bermula hari ini berjalan lancar di seluruh negara tanpa sebarang aduan diterima daripada pengguna.
"Memang semuanya sudah siap sedia. Tadi kita pun sudah cuba dengan pelbagai kaedah iaitu aplikasi Setel (Petronas), tunai serta e-dompet Touch 'n Go dan semuanya berjalan lancar.
MoF memaklumkan sejak 25 Sept lepas, sebanyak 8.1 juta pengguna telah membuat semakan kelayakan melalui laman web rasmi www.budimadani.gov.my, sekali gus menunjukkan sambutan amat menggalakkan daripada rakyat.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami