MALAYSIA
BUDI95: Penerima STR di Sabah akui sistem semakan mudah, pantas

Pengguna seperti penghantar barang dan peniaga kecil menyatakan subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 membantu mengurangkan kos harian. - Gambar fail
SANDAKAN: Rata-rata penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di sini yang mula menikmati inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) hari ini, berpuas hati dengan proses semakan serta pengesahan MyKad yang mudah dan pantas.
Ringkasan AI
- Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) menyambut baik pelaksanaan BUDI95 yang mula dinikmati hari ini, dengan proses semakan dan pengesahan MyKad yang mudah serta tidak memerlukan masa menunggu lama di stesen minyak.
- Pengguna seperti penghantar barang dan peniaga kecil menyatakan subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 membantu mengurangkan kos harian, dan proses pembelian melalui aplikasi serta kaunter stesen minyak berjalan lancar.
- Petugas stesen minyak menggalakkan penggunaan aplikasi seperti Settle dan Touch 'n Go untuk kemudahan pendaftaran MyKad, dan menekankan pentingnya penggunaan subsidi secara berhemah bagi mengelakkan penyelewengan.
"Subsidi ini boleh mengurangkan kos petrol, khususnya pengguna seperti saya yang setiap hari perlu menggunakan kenderaan untuk menghantar bungkusan pelanggan," katanya kepada Bernama.
Mohd Fadli berkata pembelian petrol pada harga RM1.99 menerusi BUDI95 juga sangat mudah dan pantas dengan menggunakan aplikasi, selain membuat pembayaran dan pengesahan MyKad di kaunter stesen minyak yang lancar.
Pandangan sama turut dikongsikan Madiasim Manalu, 43, yang tidak menyangka proses semakan dan pengesahan MyKad bagi menikmati inisiatif itu amat senang dan dia juga tidak perlu menunggu terlalu lama di kaunter.
"Pada mulanya, saya fikir proses pengesahan MyKad akan mengambil masa lama, tetapi tidak sangka prosesnya sangat mudah dan pantas, tidak menyusahkan pengguna.
"Kita beruntung kerana kerajaan sekarang memperkenalkan inisiatif BUDI95, memang menjimatkan kos penggunaan petrol setiap bulan," katanya.
Sementara itu, petugas Stesen Petronas Jalan Utara Mohd Fazlee Mansor berkata ramai penerima STR memberikan maklum balas positif dengan pelaksanaan inisiatif BUDI95 di stesen minyak berkenaan.
Beliau berkata penerima STR dilihat membuat semakan MyKad di kaunter, namun untuk lebih mudah lagi, penggunaan aplikasi Settle atau Touch 'n Go (TNG) digalakkan kerana pendaftaran MyKad hanya perlu dilakukan sekali sahaja.
"Kita perlu berterima kasih kepada Kerajaan MADANI kerana memberikan subsidi RON95. Jadi, gunakan dengan sebaik-baiknya supaya tidak ada lagi berlaku penyelewengan," katanya.
BUDI95 akan dilaksanakan sepenuhnya pada 30 Sept ini melibatkan 16 juta rakyat Malaysia yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami