MALAYSIA
BUDI95: RM3.7 juta pembelian RON95 direkodkan - Amir Hamzah

Amir Hamzah beramah mesra dengan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang mengisi minyak menggunakan inisiatif BUDI95 ketika lawatan di Stesen Petronas Durian Tunjong hari ini. - Foto Bernama
LABUAN: Sejumlah RM3.7 juta pembelian petrol RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter direkodkan setakat jam 12 tengah hari ini, sejak pelancaran inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) semalam.
Ringkasan AI
- Sebanyak RM3.7 juta pembelian petrol RON95 subsidi direkodkan setakat 12 tengah hari, melibatkan lebih 90,000 anggota ATM dan PDRM sebagai kumpulan pertama menerima manfaat BUDI95.
- Program BUDI95 kini diperluas kepada lebih lima juta penerima STR kategori B40, sebelum pelaksanaan penuh pada 30 September melibatkan 16 juta rakyat Malaysia yang layak.
- Kementerian Kewangan akui terdapat isu teknikal kecil seperti cip MyKad rosak dan lesen tidak aktif, namun kerjasama dengan JPJ dan JPN sedang dijalankan untuk menyelesaikan masalah tersebut.
"Berdasarkan pemerhatian kami hari ini di seluruh negara, penerima STR mula menggunakan skim subsidi ini. Sehingga jam 12 tengah hari, lebih 200,000 penerima STR telah menggunakan kemudahan tersebut, namun jumlah keseluruhan nilai pembelian masih sedang dikumpulkan," katanya kepada pemberita selepas melawat stesen minyak Petronas di Jalan Pohon Batu di sini, hari ini.
Amir Hamzah yang memulakan lawatan kerja dua hari ke Labuan hari ini, berkata laporan di lapangan menunjukkan operasi BUDI95 berjalan lancar, dengan sistem stabil serta pengesahan MyKad di terminal stesen minyak berfungsi dengan baik.
Beliau akui terdapat aduan teknikal kecil, namun menjelaskan kebanyakannya berpunca daripada lesen memandu pemohon yang tidak aktif, cip MyKad yang tidak dapat dibaca atau penggunaan nombor kad pengenalan lama.
"Bagi menyelesaikan isu ini, kami bekerjasama dengan agensi kerajaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan mereka bersedia memberikan sokongan operasi," katanya.
Amir Hamzah berkata pelaksanaan BUDI95 akan membantu mengurangkan ketirisan subsidi dan memastikan pengagihan disasarkan kepada rakyat.
"Apa yang kita mahu ialah bantuan ini benar-benar sampai kepada rakyat. Dengan penggunaan sistem pengesahan kad pengenalan negara, ia juga memberi rasa istimewa sebagai warganegara Malaysia," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami