Duta Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel berkata lawatan julung kali Ismail Sabri ke Bangkok atas jemputan Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha itu juga akan membincangkan projek-projek insfrastruktur di sempadan serta hubungan dan kerjasama ekonomi Thailand dan Malaysia.

Beliau berkata, pembukaan semula sempadan menerusi udara, darat dan laut untuk merancakkan semula aktiviti eknomi dan pergerakan rakyat di kedua-dua negara.

"Setakat ini, pihak kerajaan Thailand telah memberi tempoh masa untuk pembukaan semula sempadan namun ia bergantung kepada perbincangan lanjut dengan pihak Malaysia.

"Majlis Pemulihan Negara (MPN) sebelum ini mencadangkan pembukaan sempadan (pada Mac 1) namun ia bergantung kepada kerajaan Malaysia untuk menentukan bila. Kita jangkakan tidak lama lagi...Perdana Menteri (Ismail Sabri) akan memberi makluman khusus," katanya pada sidang media bersama media Malaysia di sini hari ini.

Selain itu, Jojie berkata Thailand dan Malaysia akan mengadakan perbincangan lanjut untuk mewujudkan mekanisme pengiktirafan timbal balas sijil vaksinasi.

"Kedua-dua pihak menyedari kepentingan pengiktirafan sijil vaksinasi secara digital antara Malaysia dan Thailand. Kementerian Sains, Inovasi dan Teknologi (MOSTI) dan Thailand Digital Government Agency (DGA) telah mengemukakan butiran teknikal dan kedua-dua agensi akan mengadakan perbincangan lanjut," katanya.

Jojie berkata Thailand juga berhasrat untuk mewujudkan kerjasama penyelidikan dan pembangunan vaksin bersama Malaysia.

"Lawatan rasmi ini memberi peluang yang baik kepada Perdana Menteri untuk berbincang dengan rakan sejawatnya bagi meneroka dengan sepenuhnya jalinan kerjasama ekonomi dua hala antara kedua-dua negara, terutamanya aktiviti ekonomi di sempadan yang merangkumi 70 peratus daripada jumlah perdagangan dua hala Malaysia dan Thailand," katanya.

Lawatan rasmi Ismail Sabri selama tiga hari bermula Khamis ini adalah sebahagian lawatan pengenalan ke negara-negara Asia Tenggara sejak beliau dilantik sebagai Perdana Menteri pada Ogos 2021. Malaysia dan Thailand telah menjalin hubungan diplomatik selama 65 tahun sejak Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957.

Pada lawatan ini, Ismail Sabri diiringi Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Beliau dijadual tiba di Bangkok pada 8.30 malam (waktu tempatan) pada Khamis di Lapangan Terbang Tentera Udara Diraja Thailand dari Phnom Penh, Kemboja dan akan disambut Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri Thailand Don Pramudwinai yang mewakili kerajaan Thailand.

Ismail Sabri dan delegasi akan mematuhi protokol kesihatan yang ditetapkan oleh kerajaan Thailand sepanjang lawatan rasmi ini dan program rasmi akan bermula Jumaat.

Beliau dijadual menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Keluarga Malaysia di Thailand bersama kira-kira 100 rakyat Malaysia di Thailand.

Perdana Menteri juga akan menghadiri majlis jamuan teh bersama ahli Dewan Perniagaan Malaysia-Thailand (MTCC) bagi perkongsian pengalaman dan perbincangan mengenai isu-isu perniagaan di Thailand.

Selepas itu, beliau akan menghadiri upacara sambutan rasmi di Rumah Kerajaan dan diikuti mesyuarat terhad antara kedua-dua Perdana Menteri dan diikuti sidang akhbar bersama.

Selepas itu, Ismail Sabri akan menghadiri majlis makan malam rasmi yang dihoskan Prayuth di Rumah Kerajaan.

Sidang media bersama media Malaysia akan diadakan berhubung hasil lawatan rasmi pada Sabtu sebelum beliau berlepas pulang ke Malaysia.

Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Thailand mencatatkan peningkatan positif sebanyak 23 peratus dengan jumlah perdagangan bernilai RM97.97 bilion berbanding RM79.63 bilion bagi 2020. Daripada jumlah itu, eksport Malaysia ke Thailand berjumlah RM52.39 bilion manakala import Malaysia dari Thailand berjumlah RM45.5 bilion.

Thailand kekal sebagai rakan dagang keenam terbesar bagi Malaysia di dunia dan kedua terbesar di dalam ASEAN. Malaysia kekal sebagai rakan dagang keempat terbesar bagi Thailand di dunia.

-- BERNAMA