KUALA LUMPUR: Malaysia dan Thailand bersetuju secara dasar untuk melaksanakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara, darat dan laut, bagi memudahkan pergerakan rakyat kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kementerian dan agensi berkaitan akan mengadakan perbincangan bagi memperincikan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan, demi membuka semula sempadan dalam masa terdekat melalui VTL dan skim 'Test & Go'.

"Sebagai permulaan, kita boleh melaksanakan VTL-Udara antara Kuala Lumpur dan Bangkok bagi pengembara yang sudah lengkap vaksinasi. Kita juga akan mempertimbangkan untuk menambah destinasi lain pada masa akan datang.

"Skim VTL juga akan diperkembangkan untuk pembukaan sempadan darat melalui Bukit Kayu Hitam-Sadao, serta termasuk semua CIQ (kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin) di utara semenanjung dan Selatan Thailand, selain VTL-Laut antara Langkawi-Satun," katanya dalam kenyataan di Bangkok, pada Jumaat.

BACA: Ismail Sabri diberi sambutan permaidani merah di Thailand 

BACA: Krisis Rusia-Ukraine: Malaysia harap penyelesaian damai segera dicapai - Ismail Sabri 

Jelasnya, dengan inisiatif ini, ia akan dapat membantu untuk memulihkan semula jaringan ekonomi dan perniagaan di antara kedua-dua pihak terutamanya untuk sektor pelancongan.

Dalam perbincangan mengenai usaha pemulihan ekonomi, Malaysia-Thailand komited untuk terus bekerjasama rapat bagi mencapai sasaran perdagangan dua hala sebanyak AS$30 bilion menjelang 2025.

Perdana Menteri tiba di Thailand pada Khamis untuk lawatan rasmi tiga hari bagi mempertingkatkan lagi kerjasama dua hala dan pergerakan rakyat di kedua-dua negara.