QUITO (ECUADOR): Presiden Ecuador, Daniel Noboa pada Selasa mengisytiharkan darurat selama 60 hari di 10 wilayah dan tiga perbandaran berikutan gangguan keselamatan yang serius akibat peningkatan keganasan jenayah, menurut satu dekri eksekutif yang dipetik Xinhua.
Langkah itu menggantung perlindungan undang-undang berkaitan penggeledahan kediaman dan surat-menyurat di wilayah pesisir Guayas, Manabi, Santa Elena, Los Rios, El Oro dan Esmeraldas.
Perintah itu turut melibatkan Pichincha yang merangkumi ibu negara, Quito, selain Santo Domingo de los Tsachilas, wilayah Amazon utara Sucumbios dan wilayah selatan Azuay.
Tiga perbandaran yang turut disenaraikan dalam dekri itu ialah La Mana, Las Naves dan La Troncal.
Menurut dekri berkenaan, pasukan keselamatan dibenarkan menjalankan penggeledahan segera sekiranya terdapat petunjuk bahawa anggota kumpulan bersenjata terancang atau organisasi jenayah bersembunyi di sesuatu premis.
Langkah itu juga boleh dilaksanakan sekiranya terdapat syak wasangka mengenai kewujudan senjata, peluru, bahan letupan atau bahan terkawal di lokasi berkenaan.
Dekri itu turut membenarkan pihak berkuasa mengenal pasti, menganalisis dan mengumpul maklumat yang dianggap perlu bagi mencegah atau meneutralkan ancaman keselamatan.
Selain itu, pihak berkuasa diberi kuasa untuk merampas sementara barangan dan perkhidmatan haram yang dianggap perlu bagi mengekalkan operasi keselamatan.
Menurut dekri itu, Ecuador merekodkan peningkatan ketara dalam insiden keganasan, serangan bersenjata dan aktiviti jenayah yang dikaitkan dengan kumpulan bersenjata terancang serta organisasi jenayah.
Ia menyatakan bahawa kes pembunuhan, pemerasan, penculikan, rompakan dan pengedaran dadah terus mencetuskan keresahan sosial serta mengganggu aktiviti ekonomi normal, justeru campur tangan angkatan tentera menerusi langkah luar biasa diperlukan bagi membantu mengurangkan kebimbangan rakyat.
-- BERNAMA-XINHUA