Kata orang, kalau benda baik, sebarkan. Jadi inilah sumbangan saya buat hari ini – Kia Picanto antara kereta yang paling memeranjatkan sepanjang tahun 2013. Bukan sebab kereta ini mampu menyorok bawah katil dan melompat keluar bila anda baru hendak tidur. Tetapi saya sendiri tidak mengharapkan terlalu banyak dari model ini; jika ia hanya sedikit lebih baik daripada generasi sebelumnya, itupun sudah cukup, kan?
Cuma apa yang Kia buat kali ini sudah melampau. Dalam diam ia bagaikan merancang untuk menggegarkan segmen A dengan melengkapkan kereta ini dengan pelbagai ciri yang di luar jangkaan. Bahkan, kereta-kereta di segment B juga ada sebab untuk rasa tergugat dengan ‘kemewahan’ model dengan nama pelik ini.
Kejuruteraan kereta ini bukan calang-calang dan mendapat keputusan yang sangat baik setelah diuji oleh pihak NCAP Eropah (4 bintang secara keseluruhan). Saiz kabinnya juga besar berbanding apa yang dijangka; enjinnya mungkin kecil (1,248cc) tetapi hasil 86bhp tidak mengecewakan, dan daytime running light LED ditambah lagi dengan lampu belakang yang juga LED semua menjadikan Kia ini semakin menarik.
Picanto ini – varian kotak gear automatik pada harga RM59,888 (dengan insurans) – juga standard dengan 6 speaker, aloi 15 inci, tapak Isofix, glass yang ber-filem gelap, Bluetooth, dan kawalan audio/Bluetooth pada stereng.
Ini ditambah pula dengan 4 sensor undur bersama sistem Park Assist, sistem kawalan kestabilan (Vehicle Stability Assist) dan 6 beg udara (wow, 6 beg udara!) Sistem brek tidak ketinggalan, walaupun sepasang cakera di tayar-tayar hadapan sudah memadai, Kia beranggapan sepasang lagi untuk tayar belakang dapat memberikan keselamatan yang lebih baik. Hill-start Assist dan kawalan stabiliti adalah standard.
Percaya atau tidak, Picanto ini – walaupun kelihatan lebih besar jika dibandingkan dengan Perodua Viva – sebenarnya mempunyai wheelbase yang 5mm lebih pendek daripada model tempatan itu (Picanto: 2,385mm). Namun, tidak perlu ragu-ragu tentang saiz sebenar ruang dalaman Kia dan ruang kargo kerana ia jelas luas.
Picanto ini mempunyai kualiti pemanduan yang lebih mirip kepada sebuah kereta yang jauh lebih besar (dan mahal!) Ia selesa, sistem suspensinya cukup cekap dalam menyerap ‘kebiadapan’ jalan-jalan yang tidak dijaga baik. Gangguan NVH (Noise, Vibration, Harshness) yang tidak asing bagi sebuah kereta segmen A sangat rendah di dalam kabin Picanto.
Kemasan dan kualiti pemasangan kereta ini juga sangat memuaskan. Walaupun papan kemukanya agak ringkas, tetapi penggunaan dua-tona hitam/perak menjadikan ia menawan.
Soalan penting yang perlu dijawab ialah mengenai kadar penggunaan minyaknya, kan? Menurut komputer dalaman kereta, ia pergi serendah 7 liter/100km. Mungkin terlebih optimistik kerana dari tanki 35 liternya, saya hanya memandu tidak lebih 400km; menjadikan angka sebenarnya lebih ke nilai lebih kurang 8.7 liter/100km. Namun, ini masih sebuah pencapaian yang boleh dibanggakan.
Lagipun, ia sebuah kereta baru dan enjinnya masih belum mencapai prestasi optimum.
Sukar untuk saya mencari kesalahan pada kereta ini. Selalunya, apa-apa model yang mempunyai kotak gear 4-kelajuan (seperti Picanto ini), itulah yang menjadi titik kelemahannya; cuma ia tidak berlaku di sini. Enjin dan transmisi bagaikan saling melengkapi.
Pendek kata, Kia Picanto generasi terbaru ini adalah satu pakej lengkap.
- Ahmad ‘Cimatt’ Zulizwan
(Klik untuk album fotoKia Picanto 1.2AT yang penuh)
Model | Kia Picanto 1.2 AT | |||||
Enjin | 1248cc, 4-silinder sebaris | |||||
Gear | 4-kelajuan automatik | |||||
Pacuan | FWD | |||||
Prestasi | 86bhp @ 6,000rpm, 120Nm @ 4,000rpm | |||||
Keselamatan | Beg udara hadapan, beg udara sisi, beg udara tingkap, | |||||
ESC, traction control | ||||||
Harga | RM59,888 dengan insuran) |