KUALA LUMPUR: Datuk Sivaraj Chandran mencabar Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal agar mencadangkan penyelesaian alternatif yang praktikal dan meyakinkan rakyat dalam menyelesaikan masalah ekonomi negara.

Ia selepas Wan Ahmad Fayhsal mendakwa penyokong bukan Melayu akan meninggalkan Pakatan Harapan (PH) sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal menyelesaikan masalah ekonomi.

Menurut Sivaraj yang juga Ahli Dewan Negara, setakat ini beliau tidak melihat sebarang cadangan, perancangan atau penyelesaian alternatif daripada pihak pembangkang.

"Setakat ini tidak ada belanjawan alternatif atau komitmen daripada pembangkang untuk menyelesaikan masalah-masalah asas rakyat Malaysia.

"Maka saya cabar beliau untuk mencadangkan penyelesaian alternatif yang pratikal bagi meyakinkan rakyat dan masyarakat bukan Melayu bahawa Perikatan Nasional (PN) mempunyai penyelesaian yang konkrit.

"(Bukan) sekadar menunggang populariti dengan mendendangkan isu agama dan kaum semata-mata, yang memecahbelahkan perpaduan negara hanya untuk laba politik," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Terdahulu, Wan Ahmad Fayhsal dilapor berkata, kegagalan kerajaan menangani isu rakyat akan menyebabkan pengundi bukan Melayu beralih kepada PN.

Mengulas lanjut, Sivaraj berkata beliau berasa 'terpegun' dengan kenyataan yang dibuat oleh Wan Ahmad Fayhsal.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak bahawa kebanyakan masyarakat Malaysia, bimbang dengan keadaan peningkatan kos sara hidup dan harga barangan serta keadaan mata wang asing.

"Saya yakin kerajaan sedang mengusahakan strategi-strategi untuk menstabilkan keadaan dengan sebaik mungkin.

"Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Wan Ahmad Fayhsal, jika beliau merasakan PMX (Anwar) dan Kerajaan Madani tak menyelesaikan masalah atas ketidakcekapan mentadbir, apakah perancangan PN untuk masyarakat bukan Melayu di negara ini?," soalnya lagi.

Bekas Ahli Parlimen Cameron Highlands itu menambah, masyarakat Malaysia didakwa sudah muak dengan kenyataan-kenyataan politik sebegitu.

Katanya, pembangkang lebih memainkan retorik agama dan kaum berbanding cadangan untuk mengenal pasti dan menyelesaikan masalah-masalah yang melingkari rakyat.

"Lagipun Yang Berhormat kena arif bahawa masalah-masalah yang dihadapi oleh negara adalah disebabkan faktor geopolitik dan global yang mempengaruhi serantau Asia dan dunia," kata Sivaraj.

Pada Rabu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli memberitahu Dewan Rakyat bahawa Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi terbaik dalam tiga suku berturut-turut termasuk penurunan kadar kemiskinan dan inflasi.

Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, rekod tersebut merupakan julung kali berlaku selepas bertahun-tahun negara berdepan situasi ekonomi yang kurang memberangsangkan.