Perlis bukanlah negeri yang menjuarai penyakit kencing manis atau diabetes, sebaliknya, negeri itu berada di tangga kedua selepas Kedah.

Itu reaksi Pengarah Jabatan Kesihatan Perlis, Dr Sirajuddin Hashim sebagai mengulas laporan agensi berita Bernama yang turut disiar Astro AWANI pada Ahad.

Menurut Dr Sirajuddin, laporan itu mengelirukan ramai pihak, sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi, sejak semalam.

Katanya, berdasarkan laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) yang dilakukan setiap lima tahun sekali, seramai 33,090 orang dilaporkan menghidap diabetes di negeri itu, sekali gus meletakkan Perlis kekal di tangga kedua.

"Negeri Perlis ini adalah negeri kedua tertinggi selepas Kedah, jumlah mereka yang mengidap diabetes di Perlis ini adalah 20.6 peratus, yang pertama adalah Kedah 25.4 peratus dan yang ketiga adalah negeri Johor 19.8 peratus," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jabatan Kesihatan Negeri, Kangar.

Pada Ahad, Bernama melaporkan Perlis merupakan negeri tertinggi mempunyai rakyat menghidap diabetes, meskipun negeri itu mempunyai jumlah penduduk paling sedikit di Malaysia.

Memetik kenyataan Ketua Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan, Pejabat Kesihatan Kangar, Zaferidin Hashim, Perlis dikesan sebagai negeri tertinggi di Malaysia mempunyai rakyat yang menghidap penyakit kencing manis berdasarkan kepada nisbah jumlah penduduk.

Bagaimanapun, Dr Sirajuddin berkata, pihaknya tida berniat untuk menjatuhkan kredibiliti mana-mana pihak dengan mendedahkan data-data tertentu yang berkaitan masalah kesihatan kepada awam.

Dalam masa sama, beliau menyarankan setiap individu agar menjalani saringan bagi mencegah penyakit diabetes dari awal.

BACA: Rakyat Perlis paling ramai hidap kencing manis