Tidak semua nikah ekspres boleh dianggap sah mengikut hukum syarak.

Menurut Pensyarah Pusat Fiqh Kontemporari dan Pematuhan Syariah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Zuliza Mohd Kusrin, ini kerana ia perlu mengikut rukun nikah dan syarat ditetapkan.

Katanya, jika ia menepati rukun nikah dan syarat rukun, maka perkahwinan itu sah mengikut syarak kerana hukum syarak dan enakmen undang-undang perlu berjalan serentak, baharulah ia mematuhi peraturan.

“Kahwin ekspres ada juga nama lain seperti kahwin sindiket, nikah sorok-sorok, semuanya sama. Dari segi undang-undang, ia adalah salah namun perlu juga dilihat adakah sah perlahwinan itu.

“Ada kes wali nasab sendiri menikahkan pasangan. Maka, bila rukun nikah dipatuhi dan cukup syaratnya, maka perkahwinan itu sah di sisi syarak.

“Tapi jika dinikahkan oleh bukan wali nasab, perkahwinan itu dianggap tidak sah. Jika tidak sah dari segi syarak, sudah semestinya tidak mematuhi undang-undang,” katanya sepertimana dilaporkan Sinar Harian.

BACA: Takut pada isteri tua punca nikah ekspres?

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis dalam Wacana Sinar Harian ke-85 bertajuk ‘Nikah Ekspres: Bukan Hanya Kejar Nafsu’ di Dewan Karangkraf, di sini, petang Selasa.