Skip to main content

Malaysia

Bukan semua layak, Terminal 1 Seremban kini bertaraf Gred A - Loke

SEREMBAN, 23 Julai -- Menteri Pengangkutan Anthony Loke (tiga, kiri) menyampaikan Sijil Penarafan Gred Terminal kepada Pengarah Jabatan Penilaian Pengurusan Harta Majlis Bandaraya Seremban Nor Zuliana Abd Manan (kanan) pada majlis penyerahan Penarafan Terminal Gred ‘A’ Kepada Terminal 1 Seremban, hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Loke menyampaikan Sijil Penarafan Gred Terminal kepada Pengarah Jabatan Penilaian Pengurusan Harta Majlis Bandaraya Seremban Nor Zuliana Abd Manan (kanan) pada majlis penyerahan Penarafan Terminal Gred ‘A’ Kepada Terminal 1 Seremban, hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

SEREMBAN: Terminal 1 Seremban menerima Penarafan Gred A daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), bermakna terminal berkenaan memenuhi piawaian tertinggi dari aspek pengurusan, operasi, keselamatan serta kemudahan kepada pengguna.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pengiktirafan itu tidak diberikan kepada semua terminal, memandangkan ia perlu memenuhi pelbagai kriteria ditetapkan, antaranya tahap kebersihan, kecekapan operasi, sistem tiket dan keselesaan pengguna.

“Sejak beberapa tahun lalu, projek menaik taraf terminal ini telah dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Seremban. Sesuatu yang boleh dibanggakan kerana terminal lama ini berjaya dinaik taraf dan mendapat pengiktirafan daripada APAD,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penyerahan Penarafan Terminal Gred A kepada Terminal 1 Seremban, pada Khamis.

Menurut Loke, Terminal 1 memainkan peranan penting sebagai hab pengangkutan awam Negeri Sembilan dengan mengintegrasikan perkhidmatan bas ekspres, bas henti-henti, BAS.MY, teksi serta mempunyai sambungan terus ke Stesen KTM Seremban melalui laluan pejalan kaki bawah tanah.

"Usaha kerajaan tidak terhenti kepada penyediaan infrastruktur semata-mata, sebaliknya akan terus memberi tumpuan kepada peningkatan kekerapan perkhidmatan serta ketepatan masa operasi bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap pengangkutan awam.

“Pengguna pengangkutan awam mengharapkan perkhidmatan yang lebih kerap dan pematuhan kepada masa ketibaan serta pelepasan. Jika semua ini dapat diperbaiki, ia akan memberikan keyakinan yang lebih besar kepada pengguna pengangkutan awam,” katanya.

Terminal 1 Seremban kini mengendalikan antara 150 hingga 180 perjalanan bas setiap hari melibatkan 84 operator bas ke pelbagai destinasi di Semenanjung Malaysia.

Terminal itu turut menyediakan 46 platform, merangkumi 20 platform pelepasan, enam platform ketibaan serta 20 platform untuk perkhidmatan bas, selain merekodkan penggunaan hampir satu juta penumpang setahun.

Anthony turut menggesa orang ramai menghargai kemudahan awam yang disediakan dengan mengelakkan perbuatan vandalisme kerana ia bukan sahaja meningkatkan kos penyelenggaraan kerajaan, malah menjejaskan keselesaan pengguna lain..

Must Watch Video

Advertisement