Semua individu bukan warganegara yang masuk daripada semua pintu masuk antarabangsa negara perlu membayar caj penuh kuarantin berkuat kuasa Khamis, 24 September 2020.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mereka perlu membayar caj penuh tanpa subsidi pada kadar RM4,700 iaitu RM2,600 caj tetap pengoperasian dan RM2,100 kos penginapan.

“Bagi individu kedua dan ketiga yang berkongsi bilik dengan individu pertama, kos penginapan adalah separuh iaitu RM700.

“Bagi anak yang berumur di bawah 6 tahun kos penginapan adalah percuma,” katanya Ismail Sabri dalam satu kenyataan pada Khamis.

Bagi rakyat Malaysia pula, beliau berkata kerajaan memutuskan untuk mengekalkan subsidi kos kuarantin.

“Mereka hanya perlu membayar kos penginapan sebanyak RM2,100 seperti diputuskan dan dilaksanakan sebelum ini, manakala kos pengoperasian sebanyak RM 2,600 adalah kekal ditanggung oleh kerajaan,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan bahawa caj kuarantin bagi semua individu yang memasuki pintu masuk negara adalah di bawah tanggungan sendiri.

Arahan berkenaan dimulakan dengan pungutan caj kepada anak kapal (seafarers) bukan warganegara sahaja.

Dalam perkembangan berhubung operasi pematuhan PKPP, beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 137 individu pada Isnin atas kesalahan ingkar arahan PKPP.

“Daripada jumlah itu, seramai 111 individu telah dikompaun, 25 direman dan 1 dijamin.,” katanya.

Beliau berkata aktiviti yang melibatkan aktiviti dalam pub/kelab malam mencatatkan jumlah ditahan paling tinggi dengan 39, diikuti individu yang tidak menjaga penjarakan fizikal (32) dan mereka yang keluar rumah tanpa alasan munasabah di kawasan PKPD (25).

Menerusi Operasi Benteng yang dijalankan pula, beliau berkata 67 pendatang asing tanpa izin (PATI), lima tekong dan tiga penyeludup ditahan.

Katanya lagi, sebuah bot dan 13 kenderaan darat juga berjaya dirampas.