Polis akan memanggil 14 saksi lagi untuk membantu siasatan kes kematian bekas pembantu politik DAP, Teoh Beng Hock selepas Peguam Negara mengarahkan kes kematian mengejut itu disiasat semula di bawah seksyen 342 Kanun Keseksaan pada Julai lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata, ada di antara 14 saksi itu pernah memberi keterangan dalam kes sama.

“Satu kertas siasatan baru yang disiasat dibawah Seksyen 342 (Kanun Keseksaan) telah kita buka dan kita telah memulakan siasatan tersebut dengan kita telah memanggil saksi yang terdahulu dan juga saksi yang baharu yang kita telah kenalpasti.

“Setakat ini kita telah ada sejumlah tujuh orang saksi, lima dari saksi dahulu dan terbaharu adalah dua saksi baharu. Selepas ini kita akan panggil sejumlah 14 orang lagi saksi yang terdiri daripada saksi baharu dan juga saksi dahulu yang pernah kita rakam dalam siasatan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pada 18 November lalu, polis mengumumkan penubuhan pasukan siasatan khas melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah Selangor dan Bukit Aman untuk menyiasat kes kematian Teoh.

Pada 2016, Jabatan Peguam Negara mendapati tiada unsur jenayah dalam kematian Teoh yang juga pembantu kepada seorang Exco negeri Selangor ketika itu, Ean Yong Hian Wah.

Teoh ditemui mati pada 16 Julai 2009 selepas terjatuh dari tingkat 9 Plaza Masalam, Shah Alam, yang menempatkan ibu pejabat lama SPRM Selangor, dimana sebelum itu mendiang ditahan semalaman untuk disoal siasat.